Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Hak rakyat untuk berhimpun perlu dihormati dengan tidak diganggu oleh pihak berkuasa selagi tidak melakukan kesalahan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu perhimpunan aman kelmarin.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, itu merupakan prinsip asas demokrasi iaitu kemampuan rakyat untuk bersuara dan berkumpul secara aman tanpa rasa takut dikenakan tindakan.

“Saya menggesa pihak berkuasa untuk mematuhi semangat keputusan mahkamah ini dan menghentikan sebarang bentuk intimidasi atau siasatan terhadap peserta himpunan aman.

“Reformasi institusi mesti bermula dengan menghormati hak rakyat. Ini bukan masa untuk mengawal, ini masa untuk mendengar,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Seksyen 9(5) PAA adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

Pada 8 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demoktratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi untuk Mahkamah Persekutuan mendengar cabarannya terhadap peruntukan PAA.

Beliau didakwa atas tuduhan gagal memaklumkan pihak berkuasa sebelum mengadakan protes berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) pada 2022.

Mengulas lanjut, Fadhli Umar merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Amir Hariri yang berani mencabar peruntukan itu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Usaha beliau katanya, bukan sahaja membela hak dirinya tetapi membuka jalan kepada jutaan rakyat untuk terus bersuara tanpa rasa takut atau disekat oleh halangan perundangan yang tidak adil.

“Selama ini, kewajipan memberikan notis lima hari kepada pihak polis telah digunakan sebagai alat sekatan terhadap kebebasan bersuara, terutamanya terhadap kelompok mahasiswa, aktivis dan rakyat biasa yang ingin menyuarakan pandangan terhadap dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

“Menurut laporan Suhakam antara 2015 hingga 2020, hampir 50 penganjur perhimpunan telah didakwa di bawah peruntukan ini, walaupun majoriti himpunan berlangsung secara aman dan tidak mengancam keselamatan awam,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast