KUALA LUMPUR – Pelaksanaan projek Kota Madani yang dirancang di Presint 19, Putrajaya bukan sekadar satu inisiatif pembangunan, sebaliknya ia keperluan bagi menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan penjawat awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan, projek itu menyasarkan pembinaan sekitar 10,000 unit kediaman khususnya bagi menampung keperluan lebih 17,000 penjawat awam yang masih menunggu rumah atau kuarters kerajaan.
“Saya dah banyak bercakap tentang Kota Madani ini, dan Perdana Menteri sendiri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebutnya dalam pelbagai ucapan rasmi.
“Di Putrajaya, 60 peratus penduduk terdiri daripada penjawat awam.
“Jadi kita perlu menyediakan keselesaan dan kemudahan yang wajar untuk mereka. Saya tidak setuju jika ada pihak minta projek ini ditangguhkan,” katanya ketika sidang media pada Majlis Perasmian Program Mata Hati Wilayah Persekutuan 2025.
Sebelum ini Pemuda Pas menggesa kerajaan menangguhkan pembinaan Kota Madani yang dianggarkan bernilai RM4 bilion, dengan alasan beban hutang negara semakin meningkat dan ekonomi rakyat berada dalam keadaan tertekan.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mempersoalkan rasional projek itu ketika rakyat terkesan dengan kenaikan cukai, pengurangan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global, malah turut mempertikaikan kesan jangka panjang terhadap generasi akan datang.
Projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 di sini yang dilancarkan pada 26 Jun lepas merupakan satu inisiatif mega berkonsepkan bandar pintar yang mesra rakyat dan alam sekitar.
Projek bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina-pajak-selenggara-pindah – BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata, pembangunan projek ini bukan sekadar menyediakan kediaman kepada penjawat awam, tetapi dirancang secara menyeluruh berasaskan nilai Malaysia Madani.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu merupakan satu langkah strategik kerajaan bagi menyelesaikan isu perumahan penjawat awam yang masih belum memiliki kediaman sendiri dan menunggu giliran masing-masing.
“Ini bukan projek biasa yang sekadar sediakan rumah, tetapi kita beri satu keselesaan yang luar biasa… Sekolahnya dekat, masjid, gimnasium dan taman permainan, semua faktor diambil kira, ia satu kota yang moden berkonsep Madani.
“Kota Madani ini agak moden dengan konsep yang baharu, tetapi meletakkan, mengasaskan kepada nilai. Sebab itu penjawat awam perlu perhatikan faktor ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















