Muhammad Hayder Aisar yang berasal dari Jitra, Kedah perlu menjalani pembedahan jantung dengan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

BUKIT MERTAJAM – Bayi lelaki berusia dua bulan memerlukan sumbangan orang ramai berjumlah RM65,000 bagi menjalani pembedahan jantung dengan segera.

Muhammad Hayder Aisar Muhammad Hayazi yang lahir pramatang dengan berat 1.53 kilogram pada usia kandungan 32 minggu itu disahkan menghidap penyakit jantung kongenital.

Ibunya, Noraisyah Shaharom, 37, berkata, bayi tersebut mengalami sindrom gangguan pernafasan (respiratory distress syndrome) selepas dilahirkan dan terpaksa menjalani rawatan selama dua minggu sehingga tidak lagi memerlukan bantuan alat oksigen.

“Namun, dua hari selepas itu, tahap oksigen dalam badannya tiba-tiba menurun semula dan kembali memerlukan sokongan oksigen.

“Doktor kemudianya mengesahkan anak saya mengalami kecacatan jantung kongenital iaitu penyempitan aorta dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Sejak lahir, saya belum pernah memeluk atau menciumnya dan hanya boleh menyentuh tangan kecilnya di inkubator,” katanya.

Noraisyah berkata, pada 28 Mei lalu, Muhammad Hayder Aisar telah menjalani prosedur angioplasti dengan penggunaan belon untuk mengembangkan saluran darahnya.

“Bagaimanapun, selepas sebulan kemudian doktor mendapati saluran darahnya itu kembali sempit dan pembedahan terdahulu gagal.

“Selain masalah jantung, dia juga mempunyai sedikit pendarahan dalam otak selain jangkitan kuman pada paru-paru akibat terlalu lama bergantung alat bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah Noraisyah, dia dan suami, Muhd Hayazi Hanapiah, 39, terpaksa merayu sumbangan orang ramai kerana hanya mampu menanggung RM10,000 daripada kos pembedahan hasil daripada simpanan mereka.

“Kami memerlukan RM65,000 lagi agar pembedahan jantungnya dapat dilaksanakan segera dan pembedahan telah dijadual pada minggu depan iaitu pada 8 Julai,” katanya.

Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bapa bayi merupakan petani padi dengan pendapatan rendah, manakala ibunya suri rumah sepenuh masa.

“Pasangan dari Jitra, Kedah itu turut membesarkan seorang lagi anak lelaki berusia empat tahun yang tentunya memerlukan perbelanjaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi talian 04-5399212, 016-4192192, 019-2322192 atau 018-9114192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast