Hasbie Muda. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Orang Melayu akan menjadi bangsa yang gagal sekiranya terus ditipu dengan permainan pihak-pihak tertentu yang cuba mempergunakan bekas pemimpin untuk mendapatkan kuasa demi kepentingan politik masing-masing.

Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, beliau hairan mengapa Perikatan Nasional (PN) masih lagi mahu mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada penubuhan State Government 4 (SG4), sedangkan bekas perdana menteri itu telah mengaku menganaktirikan Kelantan yang merupakan antara empat buah negeri yang ditadbir oleh parti itu.

Katanya, beliau tidak nampak matlamat penubuhan SG4 yang telah lebih setahun ditubuhkan oleh PN membabitkan kerajaan negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

“Sepatutnya kita nak bangunkan negeri yang lemah, kita kena cari rakan-rakan yang berjaya.

“Tapi, bila saya tengoklah, dahlah bincang dengan orang yang mengaku menganak tirikan negeri Kelantan untuk lebih 20 tahun…dia mengaku, tiba-tiba kita angkat dia…ini pelik yang saya tak boleh faham logiknya.

“SG4 dah dekat setahun lebih rasanya, apa kejayaannya. Kalau SG4 pun gagal, kemudian nak rangkul semua orang Melayu di Malaysia, dua kali gagal kita.

“Kita tak boleh teruskan orang Melayu ditipu dan terus ditipu dengan agenda-agenda politik ini,” katanya dalam Program Dialog:  Payung Besar Orang Melayu, Keperluan Bangsa Atau Helah Politik? anjuran MalayaGazette malam tadi.

Program tersebut dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Program berkenaan menampailkan dua tokoh muda dengan seorang Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham.

Sementara itu, Hasbie turut mempersoalkan langkah gerakan Sekretariat Orang Melayu yang turut mempergunakan Dr Mahathir sebagai pemimpin utama dalam gerakan itu.

Dakwanya, Dr Mahathir sendiri dalam banyak perkara telah melakukan sesuatu tidak konsisten selain, sering menyalahkan orang Melayu dalam banyak kenyataan-kenyataannya.

Katanya, tindakan Dr Mahathir itu disifatkan telah memperkecilkan dan menghiris perasaan orang  Melayu yang merupakan bangsa terbesar dalam negara ini.

Jelasnya, Dr Mahathir sendiri telah ditolak oleh rakyat khususnya pengundi Melayu dan bukti itu dapat dilihat apabila beliau tewas ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sebelum ini.

“Macam mana kita nak berikan harapan kepada seorang pemimpin yang dah gagal 22 tahun, dan last (akhir) 22 bulan

“Saya tak faham kenapa Perikatan Nasional boleh lagi memgangkat orang yang tidak konsisten dengan pendirian dan kenyataannya dan pada yang sama orang ini bukan setakat kalah dalam pilihan raya, hilang deposit di Langkawi.

“Kenapa tidak diangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua untuk Payung Besar Orang Melayu?” soalnya. – MalaysaiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast