KUALA LUMPUR – Bekas pertahanan kanan Kuala Lumpur City, Anwar Ibrahim sah menjadi milik Negeri Sembilan FC dalam usaha memperkasakan benteng pertahanan menjelang musim Liga Malaysia 2025/2026.
Negeri Sembilan yang kini dibimbing ketua jurulatih, Nidzam Jamil menamatkan saingan Liga Super 2024/2025 di tempat ke 12 daripada 13 pasukan selain mencatat 49 gol bolos jumlah ketiga tertinggi selepas Kedah Darul Aman dan Kelantan Darul Naim.
Justeru, kehadiran Anwar, 26, dijangka menjadi tonggak utama untuk memperkukuh benteng pasukan berdasarkan pengalaman luasnya dalam kancah liga utama.
“Dulu kota, kini Negeri! Anwar Ibrahim bersedia bawa asakan dari pertahanan, musuh, bersedialah!” kata kenyataan NSFC di media sosial.
Memiliki 22 penampilan bersama skuad B-19 negara, Anwar pernah menjadi sebahagian daripada skuad Kuala Lumpur City FC yang menjuarai Piala Malaysia 2021.
Dia memulakan karier profesional bersama Felda United pada 2018 sebelum berhijrah ke Selangor FC dua tahun kemudian. – MalaysiaGazette
















