Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

TOKYO – Satu gempa bumi dengan magnitud 5.4 telah melanda perairan gugusan pulau Tokara di wilayah Kagoshima, barat daya Jepun pada pagi Sabtu, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Gempa berlaku pada jam 6:29 pagi waktu tempatan dan mencatat intensiti 5 atas pada skala seismik Jepun (maksimum 7) di Akusekijima, salah satu pulau dalam gugusan Tokara.

Agensi cuaca itu melaporkan, gempa berpusat pada kedalaman 19 kilometer, namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Pada hari Khamis, gempa bumi berukuran 5.5 magnitud dan intensiti 6 bawah turut direkodkan di kawasan yang sama, menyebabkan pihak berkuasa kampung Toshima yang merangkumi tujuh pulau berpenghuni dan lima tidak berpenghuni menawarkan pemindahan sukarela kepada penduduk Akusekijima.

Aktiviti seismik di rantau gugusan pulau Tokara semakin meningkat, dengan lebih 1,200 gempa bumi yang dapat dirasai direkodkan sejak 21 Jun, menurut penyiar awam NHK.

Kumpulan pertama terdiri daripada 13 penduduk Akusekijima yang telah mengalami gegaran kuat secara berterusan telah dipindahkan ke bandar Kagoshima di pulau utama Kyushu melalui feri pada hari Jumaat, menurut laporan tersebut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast