MELAKA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mahu lebih banyak pihak swasta mengambil tindakan berani mempromosikan acara luar biasa untuk merancakkan lagi sektor pelancongan Melaka.
Ketua Setiausahanya Datuk Shaharudin Abu Sohot berkata, mereka seharusnya merebut peluang itu selari dengan hasrat kerajaan dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) selain Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 yang akan dilancarkan Disember ini.
Menurutnya, antaranya termasuklah acara yang memperlihatkan gabungan budaya, gaya hidup, kreativiti serta semangat anak muda Malaysia terhadap dunia automotif seperti penganjuran Japan Domestic Market (JDM) Real Fest 2025.

“Saya percaya, program ini bukanlah sekadar pameran automotif malah manifestasi semangat, minat dan jati diti anak muda Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Kebijaksanaan penganjur menghimpunkan pelbagai elemen menarik dalam festival ini termasuk pameran kereta, aktiviti kekeluargaan, makanan serta hiburan memperlihatkan potensinya untuk menjadi acara tahunan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan JDM Real Fest 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu pengarah festival, Norazila Zakaria berkata dia tidak menyangka penganjuran acara permotoran buat kali pertama di Melaka untuk mencuba kelainan mendapat sambutan luar biasa.
“Sebelum ini, saya melalui Fasha Damia Pictures sering membuat acara namun lebih kepada tradisional iaitu festival makanan dan kebudayaan tapi kali ini mahu mencipta kelainan melalui acara permotoran.
“Tujuannya adalah untuk menarik kunjungan daripada negara luar dan bercadang untuk mengadakan acara sebegini dalam skala yang lebih besar tahun depan hasil kerjasama baik dari MOTAC,” katanya.

Pengunjung yang hadir pada festival automotif, JDM Real Fest 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, yang menampilkan keunikan dan kehebatan kereta-kereta JDM serta komuniti permotoran yang aktif di negara ini
JDM Real Fest 2025, adalah festival automotif yang menampilkan keunikan dan kehebatan kereta-kereta JDM serta komuniti permotoran yang aktif di negara ini. – MalaysiaGazette
















