TOULOUSE, Perancis – Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines membuat tempahan 20 buah lagi pesawat A330-900 dengan Airbus.
Tempahan baharu ini akan menggandakan jumlah pesawat A330neo dalam Malaysia Airlines kepada 40 buah.
Pengumuman ini dibuat semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis.
MAG pertama kali memilih A330neo pada tahun 2022 di bawah program pembaharuan pesawat badan lebar, dengan komitmen untuk 20 buah pesawat, dan setakat ini empat daripadanya telah dihantar.
Menampilkan susun atur kabin premium yang serba baharu, pesawat ini telahpun digunakan untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Melbourne, Auckland dan Bali.
“A330neo terus menawarkan keseimbangan ideal antara kecekapan operasi, jarak penerbangan dan keselesaan kabin bagi menyokong rangkaian dan strategi pertumbuhan kami.
“Dengan kecekapan bahan api yang dipertingkat dan fleksibiliti untuk laluan serantau serta jarak jauh, pesawat ini sangat sesuai untuk memenuhi keperluan pasaran kami yang semakin berubah.
Ia juga membolehkan kami menawarkan produk sejajar dengan penjenamaan premium kami – moden, kemas, dan berfokuskan keselesaan serta jangkaan penumpang,” kata Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Beliau menambah, tempahan tambahan ini mengukuhkan visi jangka panjang MAG untuk menyokong pertumbuhan mampan, memberikan nilai konsisten kepada penumpang dan mengukuhkan daya saing dalam pasaran utama.
“Kami berbangga untuk terus memperkukuh hubungan dengan Malaysia Aviation Group apabila menambah bilangan A330neo,” kata Benoît de Saint-Exupéry, Naib Presiden Eksekutif Jualan Airbus bagi bahagian Pesawat Komersial.
Malah, katanya, tempahan ulangan ini adalah pengiktirafan terhadap prestasi luar biasa, kecekapan bahan api, serba guna dan keselesaan penumpang A330neo, serta bukti popularitinya dalam kalangan syarikat penerbangan premium dunia.
A330-900 dikuasakan oleh enjin generasi terkini Rolls-Royce Trent 7000 dan mampu terbang sejauh 7,200 batu nautika/13,300 kilometer tanpa henti.
Sehingga akhir Mei 2025, pesawat A330 telah menerima lebih daripada 1,800 tempahan kukuh daripada lebih 130 pelanggan di seluruh dunia.
Seperti semua pesawat Airbus yang sedang dikeluarkan, A330neo boleh beroperasi menggunakan sehingga 50% Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF), dengan sasaran untuk meningkatkannya kepada 100% SAF menjelang 2030. – MalaysiaGazette
















