Seorang pemuda maut dalam kemalangan motosikal, kereta dan lori di Lebuhraya Senai-Desaru arah Desaru, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan motosikal, kereta dan lori di Kilometer 46.3 Lebuhraya Senai-Desaru arah Desaru, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu yang berlaku pukul 6.45 petang melibatkan motosikal jenis Honda FS150, kereta Proton S70 dan lori Hino.

“Kejadian berlaku semasa Proton S70 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun bergerak lurus di belakang lori muatan plastik kitaran dari Cahaya Masai menghala Desaru dipandu seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun.

“Semasa sampai di tempat kejadian penunggang motosikal tersebut yang ditunggang lelaki tempatan berusia 34 tahun datang dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, motosikal berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Proton S70 sehingga menyebabkan melambung atas kereta tersebut.

Mangsa kemudian tercampak bawah lori sebelum digilis tayar belakang sebelah kiri kenderaan berat tersebut, katanya.

Jelas beliau, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara pemandu kereta dan lori pula kata Mohd Sohaimi, tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang menjadi saksi kejadian menyalurkan maklumat kepada pihak polis 07-3864222 bagi bagi siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast