KUALA LUMPUR – Pergolakan dalaman yang kian meruncing dalam Perikatan Nasional terus menimbulkan persoalan tentang kemampuan sebenar mereka untuk memimpin negara.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid mempersoalkan kredibiliti gabungan berkenaan yang menurutnya masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kekosongan jawatan penting dan konflik dalaman yang berpanjangan.
“Jika soal pengurusan organisasi sendiri pun gagal diselesaikan, bagaimana mungkin mereka mampu menguruskan sebuah negara yang kompleks, memerlukan kestabilan dan dasar jangka panjang?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengaitkan kekosongan jawatan bendahari dalam parti itu sebagai petanda berlakunya kemungkinan masalah kewangan, lebih-lebih lagi selepas pendedahan berhubung skandal Jana Wibawa.
“Adakah ini antara punca jawatan penting seperti Bendahari terus dibiarkan kosong?” soalnya lagi.
Dalam pada itu, Danial turut menyuarakan kebimbangan terhadap desas-desus yang menyebut wujudnya ketegangan antara parti-parti komponen dalam gabungan itu sendiri.
“Terdapat spekulasi bahawa Pas sedang melakukan silent boycott terhadap kepimpinan PN. Jika benar suara-suara di dalam Muktamar Pas menyebut bahawa ‘Pas lebih kuat dari BERSATU’ dan perlu berdiri sendiri, maka krisis keyakinan ini amat meresahkan,” tambahnya.
Rakyat tidak sepatutnya disogok dengan gambaran bahawa gabungan bermasalah ini adalah alternatif terbaik kepada Kerajaan Perpaduan sedangkan hala tuju sendiri pun masih kabur.
“Kita tidak mahu gabungan yang tidak mampu menyelesaikan isu dalaman, bercakaran sesama sendiri dan tidak jelas hala tuju muncul di khalayak sebagai pilihan kononnya untuk menggantikan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Beliau berkata, gabungan tersebut seharusnya memberi keutamaan kepada usaha memperkukuh struktur dalaman, memperjelas dasar ekonomi serta memastikan ketelusan dalam pengurusan dana sebelum mengimpikan untuk memimpin negara.
“Bercita-cita itu tidak salah tetapi jangan biar impian mengaburi realiti kelemahan sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette















