KUALA LUMPUR – UMNO memberi amaran keras akan agresif menyaman mana-mana pihak yang menyebar fitnah ke atas pemimpin parti itu di media sosial.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun ia bukan budaya yang diamalkan selama ini namun notis tuntutan akan diberikan kepada mereka yang mencetus persepsi tidak betul kepada UMNO.
Tegas beliau, tindakan juga sebagai satu pengajaran dan mengambil pengalaman parti lain yang menyaman mana-mana individu membuat fitnah ke atas pemimpin mereka.
“Selama ini ia bukan menjadi budaya UMNO untuk menyaman atau menghantar tuntutan kepada mana-mana pihak.
“Kita dapati dengan suasana media sosial yang sebegini rakus harus ini, kita melihat sudah tiba masanya untuk UMNO bertindak agresif dan mengambil pengajaran juga dan pengalaman parti-parti lain.
“Kalau kita lihat mereka cukup agresif menyaman siapa sahaja yang cuba cetus persepsi tidak betul atau menfitnah bagi maksud menyatakan kebenaran bagi pihak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada UMNO bahagian itu yang mengusulkan cadangan saman itu dan pihaknya akan mengambil langkah segera.
“Jadi dalam konteks ini, saya di peringkat Ibu Pejabat (UMNO) mahu isu yang dibangkitkan usul Bukit Bintang ini untuk kita laksanakan terus supaya siapa yang cetus fitnah terhadap mana-mana pemimpin UMNO kita akan ambil tindakan saman mereka.
“Tahniah dan syabas kepada UMNO Bukit Bintang yang usul dan kita boleh laksanakan terus,” katanya. – MalaysiaGazette

















