Dr Afif Mohd Ridzwan bergambar selepas di temubual dan berkongsi pengalamanya di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Puas berfikir panjang, dia akhirnya nekad meletak jawatan sebagai doktor kerajaan. Akuinya jujurnya, tiada langsung terbit perasaan sedih dan kesal meninggalkan kerjaya impiannya sejak dari sekolah menengah itu.

Bagi Dr Afif Mohd Ridzwan, dia tidak menganggap episod duka itu sebagai pengakhiran hidupnya. Sebaliknya, lelaki kelahiran Kok Lanas di Kelantan itu membuka lembaran baru dalam hidupnya dengan menceburi bidang bisnes selepas meninggalkan bidang perubatan.

Namun Afif, 44, memberitahu, ketika meletak jawatan di Kementerian Kesihatan pada 2010, dia membuat ‘kerja gila’ tanpa memiliki apa-apa pekerjaan ketika itu. Apa yang tergambar di fikirannya, hanyalah wajah anak-anak yang jarang dapat bersama sebelum itu.

Katanya, ketika itu dia menerima tawaran pesyarah pelatih di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sambil melanjutkan pengajian dalam Sarjana Perubatan pengkhususan ortopedik.

Namun kata lulusan Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu, tekanan lagi bertambah kerana perlu belajar dan mengajar serta pada masa sama bekerja sebagai doktor di HUSM. Itu belum lagi melakukan kerja sambilan di luar di klinik swasta untuk menampung gaji yang tidak mencukupi biarpun bekerja sebagai doktor kerajaan.

Ujar Afif, dia ibarat melakukan lima kerja pada satu waktu di HUSM hingga masa bersama anak-anak terbatas. Padahal niat asal dia menerima tawaran pensyarah pelatih kerana ingin melarikan daripada tekanan di Hospital Kajang sejak bertugas pada tahun 2005.

Dr Afif Mohd Ridzwan bercakap kepada wartawan ketika ditemubual dan berkongsi pengalamanya di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025.

“Saya menjadi doktor pelatih selama setahun di Hospital Kajang, Selangor sebelum ditempatkan di bahagian sakit puan selama dua tahun sebagai pegawai perubatan.

“Bayangkan sampai satu fasa saya tidak mahu lagi kendali pesakit wanita dan rasa tertekan kerana letih. Ketika itu Hospital Kajang hanya ada tiga ke empat doktor sahaja dan tekanan dihadapi adalah perlu mengendalikan kes bersalin, pembedahan, kompilasi dan penyakit wanita seperti fibroid dan ketumbuhan.

“Saya sudah tidak mahu dan rasa muak serta selalu berfikir mencari bidang berkaitan lelaki dan selepas dua tahun, saya bertukar bahagian ortopedik dan ketika itu Hospital Kajang adalah hospital paling sibuk di Selangor tanpa sistem,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Afif memberitahu, selepas meletakan jawatan sebagai doktor kerajaan, bapanya memaklumkan kepada terdapat rumah kedai kosong yang baru dibuka di Kok Lanas, Kelantan.

Memberanikan diri, dia membuat pinjaman bank sebanyak RM80,000 dan membuka Poliklinik Al-Farhain 24 jam yang diambil nama sempena anak keduanya.

Dr Afif bermula sebagai doktor pelatih selama setahun di Hospital Kajang, Selangor sebelum ditempatkan di bahagian sakit puan selama dua tahun sebagai pegawai perubatan.

Namun dia yang merupakan bekas Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang berkata, cabaran baharu dilaluinya kerana perlu bermula daripada kosong untuk membina jenama selain paling utama menarik kepercayaan orang ramai di kawasan sekitar.

“Ini kerana klinik saya berkonsep 24 jam dan antara perintis di Kelantan yang sebelum itu susah hendak hidup dan bertahan lama. Namun saya bersyukur kerana klinik saya dibuka pada bulan Ramadan mula mendapat nama pada cuti hari raya Aidilfitri.

“Ketika itu, ramai anak perantau yang pulang ke Kelantan dan menghantar ibu bapa mereka klinik saya hingga menjadi agak popular.

“Namun saya akui ada juga bekas doktor yang membuka klinik sendiri atau francais klinik menemui kesukaran. Nasihat saya sebelum berhenti kerja, buat kajian lebih mendalam dan cari ilmu dengan doktor-doktor lama yang berjaya buka klinik.

“Bukan mudah kerana kita perlu tengok lokasi, belajar pemasaran dan belum lagi bab kendali pengurusan, sumber manusia dan inventori ubat,” katanya bapa kepada sembilan anak ini.

Selepas 15 tahun meninggal kerjaya sebagai doktor kerajaan, Afif kini boleh berbangga kerana telah memiliki 11 cawangan poliklinik, tiga farmasi dan dua pusat rawatan dialisis yang kebanyakan terletak di Pantai Timur.

Dr Afif meninggalkan kerjaya sebagai doktor kerajaan kerana mahu mengutamakan masa bersama keluarga dan anak-anak yang jarang dapat bersama.

Diminta memberi nasihat kepada doktor muda yang berdepan isu masalah tekanan, dia berkata, golongan itu kena belajar menerima hakikat budaya kerja dalam bidang perubatan.

Selain perlu reda katanya, mereka juga perlu belajar tahan maki ketika menjadi doktor pelatih di mana kesilapan yang dilakukan adalah satu proses pembelajaran.

Pada masa sama, kata Afif, doktor muda juga kena membuang pemikiran untuk menjadi pegawai perubatan selama lima tahun dengan cepat untuk keluar dari sektor kerajaan.

“Situasi cemas dan sanggup mengorbankan waktu cuti adalah antara cabaran yang perlu dihadapi golongan muda dalam kerjaya doktor atau pegawai perubatan kerana kerjaya ini memerlukan komitmen tinggi terutama dalam mengendali dan merawat pesakit, apatah lagi ketika melibatkan nyawa pesakit.

“Bergelar seorang doktor atau pegawai perubatan, doktor atau pegawai perubatan harus tahu bahawa kerjaya ini bukan mudah kerana mereka akan bekerja tidak tentu masa.

“Tekanan lebih tinggi akan dirasai jika mereka perlu bekerja lebih 24 jam di samping harus melayani kerenah pesakit dan arahan daripada doktor kanan yang lebih berpengalaman,” katanya yang mengakui tidak menghalang empat anaknya yang kini menunjukkan minat untuk menjadi doktor. – MalaysiaGazette

Dr Afif Mohd Ridzwan (kanan) kini bekerjasama dengan penyampai radio THR Gegar, Fizie Roslan sebagai rakan bisnes yang ditemui di Restoran Rebung, Kuala Lumpur. Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast