Chai Ko Thing

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan hari ini mempersoalkan suara lantang Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung institusi kehakiman apabila menggesa Kerajaan Madani menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kontroversi melibatkan isu ini.

Timbalan Setiausaha Agungnya, Chai Ko Thing bertanya adakah ini petanda Rafizi sudah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau beliau bersedia untuk mengkritik kerajaan sendiri atas prinsip dan kepentingan awam, sesuatu yang selama ini sering dielak oleh pemimpin kerajaan.

“Gerakan tidak dapat menafikan betapa ironinya tindakan ini. YB Rafizi Ramli, yang kini bersuara lantang, adalah bekas menteri dalam kerajaan yang sama dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap presiden partinya sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Namun, Ko Thing menyatakan parti itu memberi sokongan penuh terhadap cadangan tersebut.

Jelasnya, penubuhan RCI yang bebas dan berwibawa amat penting bagi menyiasat segala dakwaan dan persoalan yang timbul berhubung institusi kehakiman, termasuk melibatkan kekosongan jawatan-jawatan utama.

“Hal ini demikian kerana badan kehakiman merupakan tunjang utama kepada sistem demokrasi dan keadilan negara. Maka, sebarang keraguan terhadap integriti institusi tersebut perlu ditangani dengan ketelusan dan profesionalisme.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban dapat ditegakkan dalam urusan yang melibatkan kepentingan negara. Rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan hanya melalui siasatan yang adil, bebas serta terbuka, keyakinan awam dapat dikembalikan,” tambahnya.

Oleh itu, Gerakan menyeru agar semua pihak, khususnya Kerajaan Madani tidak terus berlindung di sebalik retorik semata-mata, sebaliknya tampil dengan keberanian politik untuk menyokong penubuhan RCI ini demi menjaga integriti negara. – MalaysiaGazette

9 ahli Parlimen PKR gesa RCI siasat kemelut lantikan ketua hakim negara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast