JAIM menahan seorang lelaki selepas didapati berpakaian dan berlagak seperti perempuan ketika membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok di Banda Hilir, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan seorang lelaki selepas didapati berpakaian dan berlagak seperti wanita ketika membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok di Banda Hilir awal pagi tadi.

Pengarahnya, Datuk Md Azhan Samat berkata, lelaki berusia 25 tahun yang masih bujang itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JAIM kira-kira pukul 1.30 pagi hasil daripada aduan awam.

“Ketika diperiksa, lelaki itu memakai pakaian wanita berupa blaus labuh warna ungu, rambut palsu beserta sanggul, memakai kasut wanita dan anting-anting.

“Kesemua barangan tersebut telah disita oleh penguatkuasa agama untuk dijadikan barang kes dan individu tersebut dibawa ke pejabat JAIM untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Md Azhan, serbuan dibuat selepas menerima aduan awam yang tidak menyenangi tindakan lelaki itu mempromosi dan menormalisasikan budaya kumpulan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) di negara ini.

“Umat Islam dinasihatkan supaya tidak mengamalkan gaya hidup LGBT kerana ia diharamkan dalam Islam dan menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Perbuatan itu juga menyalahi undang- undang yang tidak menyokong sebarang bentuk amalan LGBT di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 72: Lelaki berlagak seperti perempuan, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast