ISKANDAR PUTERI – Malaysia dan Singapura bekerjasama dalam bidang ketahanan makanan membuka ladang pertanian menegak terbesar di negara ini di Taman Perindustrian Nusajaya, di sini.

Ladang pertanian menegak dalam bangunan (indoor vertical farming) terbesar itu, dibuka hasil kerjasama syarikat Malaysia-Singapura iaitu FarmByte, sebuah syarikat agri-makanan digital di bawah Johor Corporation (JCorp), dan firma agriteknologi dari Singapura, Archisen, seterusnya  dinamakan sebagai FarmByte Archisen Sdn Bhd.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ladang pertanian menegak berteknologi tinggi itu meliputi keluasan 52,000 kaki persegi atau 0.48 hektar di dalam premis  bangunan di kawasan industri berkenaan.

“Ladang ini menggunakan pendekatan pertanian persekitaran terkawal (CEA) untuk menanam hasil segar tanpa racun perosak sepanjang tahun, tanpa bergantung kepada faktor keadaan cuaca.

“Menerusi penggunaan teknologi CEA, ladang ini membolehkan pemantauan masa nyata terhadap pengeluaran tanaman, penghantaran nutrien serta kawalan mikroiklim menerusi rangkaian sensor,” katanya ketika berucap melancarkan ladang berkenaan, hari ini.

Turut hadir Pengarah FarmByte Archisen, Vincent Wei.

Onn Hafiz berkata, sistem pengairan yang diautomasi pula membolehkan penyampaian nutrien yang tepat kepada tanaman sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan proses penanaman.

Katanya, amalan pertanian di ladang itu turut disokong penggunaan teknologi ‘machine learning’ bagi membangunkan ‘resipi tanaman’ untuk mendapatkan nutrien dan hasil tuaian maksimum serta penggunaan sistem tertutup yang membolehkan air dan nutrien dikitar semula secara berterusan bagi mengurangkan pembaziran input.

Data yang dikumpul dari ladang katanya, termasuk data suhu dan kelembapan relatif juga akan terus digunakan untuk memperkemas sistem dan membuat pelarasan secara automatik.

“Dengan reka bentuk infrastruktur yang modular dan berskala, ladang ini turut membolehkan pembinaan ladang pertanian menegak yang sama di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus menyokong pengeluaran makanan secara terdesentralisasi dan membawa sumber makanan lebih dekat kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, ladang pertanian menegak dalaman terbesar negara itu menjadi bukti kukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Singapura dalam bidang ketahanan makanan.

Usahasama antara FarmByte dan Archisen berkenaan katanya, adalah inisiatif perintis bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bakal membuka jalan ke arah kerjasama rentas sempadan yang lebih mendalam.

“Ladang berkenaan dijangka menghasilkan sebanyak 306,000 kilogram hasil segar setiap tahun, sekali gus menjadi aset strategik yang menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara Malaysia serta sasaran ’30 by 30′ Singapura yang bertujuan meningkatkan kadar pengeluaran makanan domestik sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

“Pembukaan ladang ini adalah satu sejarah untuk Johor, Malaysia dan Singapura tercipta apabila projek usaha sama membangunkan ladang pertanian menegak dalam bangunan terbesar Malaysia ini dirintis sejak 2023 oleh JCorp dan Archisen sebelum ia direalisasikan hari ini yang dibangunkan dengan nilai pelaburan RM40 juta,” katanya.- MalaysiaGazette

Caption gambar : Onn Hafiz menunjukkan hasil pertanian dari ladang pertanian menegak terbesar di Taman Perindustrian Nusajaya, Iskandar Puteri hari ini

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast