KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri yang disyaki merakam dan menjual kandungan pornografi di media sosial telah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan itu dilengkapkan dan sudah dihantar ke TPR untuk tindakan lanjut.
“Kedua-dua suspek kini masih dalam tahanan reman dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Kedua-dua suspek berusia 34 tahun ditahan mengikut Seksyen 372 (1)(e), Seksyen 372B dan Seksyen 372A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, pasangan terbabit disyaki merakam serta menjual kandungan pornografi di media sosial dan ditahan menerusi serbuan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, bapa kepada empat anak itu disyaki turut melacurkan isterinya dengan harga kira-kira RM450 hingga RM800 bagi satu sesi.
Menurutnya, pasangan itu menjual video pornografi terbabit menerusi saluran di Telegram pada harga RM50 bagi Private Channel Limited Content dan RM150 bagi Private Channel VVIP Unlimited Content.
Pasangan itu mensasarkan pengguna X untuk menjual video lucah dan aktiviti pelacuran yang diuruskan oleh suami dan akan menggunakan aplikasi Telegram sebagai medium perbualan.
Pelanggan yang membeli atau melanggan video lucah akan diberikan pautan di Telegram untuk mendapatkan akses penuh kandungan lucah berkenaan. – MalaysiaGazette
















