KUALA LUMPUR – Tuduhan sinis segelintir pimpinan pembangkang bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sekadar ‘jalan-jalan’ disifatkan sebagai kenyataan cetek akal dan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi menegaskan tuduhan sedemikian menggambarkan kedangkalan pemikiran dan kejumudan kepimpinan yang gagal memahami realiti pentas antarabangsa hari ini.
“Tuduhan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri hanyalah ‘jalan-jalan’ adalah cerminan kepemimpinan yang berminda kecil malah mencerminkan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi terhadap rakyat dan negara,” katanya dalam Facebook hari ini.

Jelas Farhan, setiap lawatan rasmi Perdana Menteri tidak pernah dibuat secara suka-suka.
Sebaliknya ia membawa tanggungjawab besar membawa nama negara, menarik pelaburan strategik, memperluas pasaran eksport, mengukuh kerjasama dua hala dan memperjuangkan suara negara membangun dalam forum antarabangsa seperti BRICS.
“Hasil usaha diplomatik yang diterajui Perdana Menteri membuahkan pencapaian membanggakan termasuk peningkatan 14.9 peratus pelaburan yang diluluskan dengan nilai mencecah RM378 bilion serta prestasi dagangan berjumlah RM2.88 trilion iaitu peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024.
“Langkah proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus,” ujarnya lagi.

Farhan turut menyentuh pencapaian Kerajaan Madani yang jauh berbeza berbanding pentadbiran terdahulu yang menurutnya lebih banyak mencorakkan imej negara sebagai lemah, tempang dan ketandusan visi.
“Semasa era mereka, citra negara tidak terkehadapan. Era kepemimpinan lemah dan ketandusan idea itu sudah lama berlalu sejak Kerajaan Madani memandu negara,” dakwanya.
Beliau menambah, kini dunia kembali memandang Malaysia sebagai negara yang diyakini, stabil dan berprinsip sebagaimana terbukti melalui pelaburan besar, pemeteraian perjanjian strategik serta keterlibatan aktif Perdana Menteri di pentas ekonomi juga diplomasi global.
“Rakyat tidak berminda seperti anda (pembangkang). Mereka tidak mudah termakan dengan permainan persepsi yang dangkal. Mereka tahu menilai siapa yang bekerja untuk negara, dan siapa yang sekadar menabur tohmahan serta bermain politik tanpa hikmah,” ujarnya. – MalaysiaGazette















