Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dikejar individu kurang siuman yang bersenjatakan gunting dalam kejadian Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh malam tadi.

Bagaimanapun suspek berjaya ditahan oleh anggota polis bantuan Prasarana susulan aduan daripada seorang wanita yang juga anak kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, anggota yang bertugas di lokasi berkenaan memaklumkan kejadian itu pada pukul 12.32 tengah malam.

“Pengadu yang juga pengguna MRT memaklumkan ayahnya telah dikejar seorang lelaki tidak dikenali di aras bawah stesen pengangkutan awam terbabit sekitar pukul 11.15 malam.

“Dengan dipandu arah oleh wanita itu, anggota polis bantuan bersama rakan setugas menuju ke lokasi dan mendapati suspek berada di tangga dalam keadaan meracau.

“Suspek telah mengacukan sebilah gunting dan bertindak mengejar orang awam yang berada di stesen berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Mohd Hafiz turut memaklumkan suspek kini direman selam tiga hari sehingga 9 Julai ini dan kini ditempatkan di sebuah hospital dengan pengawasan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan diminta tampil sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

Maklumat boleh dengan menghubungi Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-969 6941. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast