SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini berada dalam fasa memperhalusi dasar, struktur organisasi dan keperluan logistik sebelum dapat melaksanakan operasi secara menyeluruh dan berkesan.
Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu memandangkan AKPS merupakan gabungan pelbagai agensi yang mempunyai bidang tugas dan budaya kerja berbeza.
“Saya tidak mahu datang ke depan dan kata ya, kita akan laksanakan semuanya esok. Ia bukan semudah itu. Kita perlu pastikan pelaksanaan dibuat dengan perancangan rapi,” katanya.
Mohd Shuhaily berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurutnya, AKPS juga masih dalam proses pengambilalihan aset dan penempatan sumber manusia, termasuk di beberapa lokasi yang belum mempunyai komander tetap.
“Saya akan mohon kepada pihak berwajib agar beri ruang dan peluang untuk kami membina sesuatu yang benar-benar berkesan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Mohd Shuhaily menegaskan kejayaan AKPS bergantung kepada kerjasama erat dengan agensi-agensi teras seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Contohnya, KKM hanya ada 12 orang untuk pantau keseluruhan industri farmaseutikal yang masuk ke negara ini. Itu belum masuk soal barang import yang tidak disaring di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau menjelaskan pihaknya tidak mahu melaksanakan sesuatu secara tergesa-gesa sebaliknya mahu membina sistem yang kukuh dan boleh bertahan lama.
“Kita sedang lihat juga kepada dasar pengambilan dan penamatan kerja yang lebih ketat termasuk semakan semula skim perjawatan.
“Ini penting untuk jauhi anggota AKPS daripada terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















