Jasri Jamaludin (kanan) menerima watikah perlantikan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Pahang daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUANTAN – “Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus menjadi suara tulen rakyat – yang tidak tunduk kepada politik elit, yang tidak lupa kepada janji perjuangan, “ kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaludin

Ujarnya, ahli parti harus kembali memperkukuh akar umbi, menyemai budaya berparti yang sihat, mendidik pemimpin pelapis yang amanah, dan menyatukan langkah bersama rakan-rakan sekutu.

“Menyatukan langkah bersama rakan khususnya Pas, Gerakan dan lain-lain dalam Perikatan Nasional demi memastikan kesepaduan politik blok pembangkang terus utuh dan diyakini rakyat.

“Kami percaya bahawa dengan gabungan pengalaman Tan Sri Muhyiddin, semangat juang para pemimpin kanan Parti serta kepimpinan muda dan akar umbi yang cekal, Bersatu akan tampil sebagai parti nasional abad ke-21 yang unggul dan inklusif,” katanya.

Jelas Jasri, Bersatu Bahagian Maran mengatakan keutamaan tertinggi parti pada waktu yang penuh cabaran ini adalah untuk terus memacu perjuangan demi rakyat, memperkukuh struktur organisasi, memperluas keanggotaan, dan mempererat kerjasama dengan semua rakan strategik dalam Perikatan Nasional (PN).

Mereka percaya bahawa masa depan negara yang lebih baik, lebih stabil dan berintegriti hanya akan terhasil melalui kekuatan dalaman parti yang bersatu dan berpandangan jauh.

“Dalam hal ini, kami menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Yang Berhormat Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Presiden Parti, seorang negarawan berpengalaman, berjiwa besar dan istiqamah dalam memimpin Bersatu dan Perikatan Nasional dengan penuh ketabahan, keikhlasan dan integriti.

“Tan Sri Muhyiddin telah menerima mandat dan kepercayaan sepenuhnya daripada seluruh perwakilan parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu pada 30 November 2024, yang menyaksikan beliau terus dipilih memimpin parti tanpa dicabar.

“Ini adalah bukti jelas bahawa majoriti akar umbi dan kepimpinan di seluruh negara meyakini keteguhan prinsip serta kebijaksanaan beliau dalam menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, apa yang lebih penting kini ialah menyusun barisan, mengukuhkan Pusat Daerah Mengundi (PDM), menggerakkan bahagian, serta memperluas gerakan latihan dan tarbiah kepada ahli dan anggota baharu.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul itu, Bersatu bukan sekadar sebuah parti politik sebaliknya ia adalah wadah perjuangan rakyat.

“Di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, kita perlu turun ke lapangan, mendengar denyut nadi rakyat, menyantuni warga desa dan kota, serta menyelesaikan isu-isu kehidupan rakyat marhaen yang semakin terhimpit daripada kos sara hidup, peluang kerja, gaji yang adil hinggalah kepada perumahan dan akses pendidikan berkualiti.

“Kita tidak boleh dan tidak akan sesekali terperangkap dalam polemik dalaman yang melalaikan. Kita tidak punya masa untuk berpaling daripada agenda besar rakyat. Inilah masanya untuk kita memperkukuh kepercayaan rakyat.,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast