Penerima "Bingkisan Kasih'.

KUALA NERUS – UMT terus komited memperkukuhkan dasar inklusif dalam
memastikan akses pendidikan tinggi yang saksama untuk semua lapisan masyarakat,
khususnya pelajar dari golongan B40.

Inisiatif ‘Bingkas Kasih’ yang merupakan bantuan sebahagian yuran untuk membolehkan
pelajar meneruskan pengajian menjadi bukti usaha UMT dalam meringankan beban
kewangan mahasiswa dan keluarga mereka.

Seramai 36 orang pelajar baharu sesi 2025/2026 terdiri daripada pelajar Asasi STEM dan
Diploma Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menerima manfaat daripada inisiatif bantuan Bingkas Kasih berupa bayaran awal yuran pengajian sebanyak RM200 setiap seorang.

Sesi penyampaian bantuan kepada pelajar ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib
Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain di UMTCC
sempena Slot Mahasiswa Idaman dan Kehidupan Kampus dalam Program Minggu Jalinan
Mesra.

Inisiatif ini merupakan antara langkah proaktif universiti melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar
dan Alumni (HEPA) bagi membantu meringankan beban kewangan awal pelajar yang baharu melangkah ke menara gading, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Pihak HEPA telah melakukan saringan awal permohonan yang dibuat oleh pelajar melalui pautan borang yang disediakan selepas keputusan UPU dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

Menurut Dr. Mohd Izani, bantuan ini bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi
juga satu bentuk motivasi awal buat pelajar agar terus cekal dan bersemangat dalam
meneruskan pengajian.

“UMT sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, lebih-lebih lagi pada fasa awal pengajian yang seringkali mencabar dari segi emosi dan kewangan. Bingkas Kasih adalah salah satu cara kami menyatakan bahawa mereka tidak bersendirian,” ujar beliau.

Salah seorang penerima bantuan, Nur Afiqah Umairah Binti Anwar, pelajar Asasi STEM
menzahirkan rasa syukur atas pemberian itu.

“Saya amat bersyukur dan terharu dengan bantuan ini. Ia benar-benar meringankan beban ibu bapa saya yang sedang berusaha menyediakan kelengkapan pengajian saya. Terima kasih UMT dan HEPA atas keprihatinan ini,” katanya.

Program seumpama ini jelas mencerminkan nilai kepedulian yang tinggi oleh pihak universiti terhadap kesejahteraan mahasiswanya, sekaligus memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti pelajar baharu yang baru ingin menyesuaikan diri dalam suasana kampus.

Sidang Redaksi HEPA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penerima dan
berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast