Sekumpulan penunggang basikal yang didakwa menghalang laluan bas di Jalan Bestari, Kuala Selangor.

KUALA LUMPUR – Rapid Bus sudah menyiasat kejadian melibatkan sebuah bas perantaran Aliran Transit Massa (MRT) yang memandu berhampiran dengan sekumpulan penunggang bas hingga berlaku perselisihan faham.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Rapid Bus berkata, semasa kejadian, Kapten Bas terbabit berhadapan kesukaran untuk memandu apabila penunggang basikal itu mengayuh secara berkumpulan di hadapan bas berkenaan.

“Terdapat juga penunggang yang memasuki lorong kiri dan menghalang laluan bas menyebabkan Kapten Bas memberhentikan bas dan menegur kumpulan terbabit.

“Namun berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui jalan terbabit menenangkan keadaan.

“Bagaimanapun, Kapten Bas terbabit telah diberi sesi kaunseling bagi membantunya mengendalikan situasi dengan lebih tenang pada masa hadapan”katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah kenyataan itu, pihaknya turut mengingatkan semua Kapten Bas untuk  mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

“Orang ramai juga diminta sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mengambil langkah keselamatan dan mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Manakala penunggang basikal dinasihatkan agar menunggang dalam satu barisan sahaja, tidak memasuki laluan yang lain dan menghalang pergerakan kenderaan lain,” jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman memaparkan pertengkaran antara sekumpulan penunggang basikal dan pemandu bas di Jalan Bestari, Kuala Selangor.

Berdasarkan video itu, insiden bermula apabila sebuah bas dikatakan memandu terlalu dekat yang hampir melanggar sekumpulan penunggang berbasikal yang berada di bahu jalan.

Penunggang berkenaan turut mendakwa pemandu bas itu memberhentikan kenderaannya di tepi jalan, dan bertindak lebih agresif apabila cuba menendang salah seorang ahli kumpulan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast