KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada 23 syarikat korporat dengan nilai keseluruhan sebanyak RM53,258,560.59.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, jumlah itu sebahagian daripada kutipan zakat perniagaan yang mencecah RM76.3 juta bagi suku pertama tahun ini.
“Bagi suku pertama tahun ini (Januari–Jun 2025), kutipan zakat perniagaan telah mencecah RM76.3 juta, meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pada 2024, sebanyak 16 peratus dari jumlah kutipan zakat datangnya daripada zakat perniagaan iaitu sebanyak RM183.8 juta.
“Zakat perniagaan menjadi penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan,” katanya berucap pada Majlis Zakat Korporat PPZ-MAIWP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Mohd Naim juga berkata, sekiranya budaya korporat menunaikan tanggungjawab itu berterusan, beliau yakin masalah kemiskinan di negara ini khususnya kawasan bandar mampu diminimumkan.
“Prestasi kutipan mesti seiring dengan peningkatan keperluan. Hakikatnya, keperluan semasa jauh lebih mendesak dan menuntut perhatian kolektif kita.
“Golongan miskin bandar, warga emas sebatang kara, keluarga kehilangan punca pendapatan masih ramai bergelut untuk meneruskan kehidupan. Mereka ini asnaf yang bergantung kepada amanah zakat ini.
“Andai lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai budaya korporat berterusan, saya yakin dan percaya kita akan mampu membuka lebih banyak jalan keluar daripada kemiskinan bukan hanya memberi tetapi membina,” katanya.
Selain itu, Mohd Naim memberitahu, masih terdapat 35 projek wakaf khas yang memerlukan pembiayaan dengan jumlah keseluruhan RM387 juta.
“Justeru sambil menunaikan zakat, rebutlah peluang menambah keberkatan dengan menyumbang wakaf tunai agar manfaatnya sampai lebih cepat kepada mereka yang memerlukan.
“Sumbangan wakaf ini turut mendapat manfaat duniawi, kerana di bawah Subseksyen 44(11D), Akta Cukai Pendapatan 1967, wakaf tunai melalui PPZ-MAIWP layak mendapat potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















