JOHOR BAHRU – Kenyataan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor tentang titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan masalah bekalan air, gaji minimum dan Hospital Pasir Gudang di negeri ini dianggap sebagai dangkal dan biadab.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kenyataan dikeluarkan Ketua Armada Johor, Alias Rasman itu jelas menunjukkannya sikap terdesak seorang politikus yang kehabisan modal.
“Memutarbelitkan titah raja demi meraih perhatian politik murahan adalah satu tindakan yang keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan.
“Titah Tunku perlu dilihat dalam kerangka kasih dan keprihatinan seorang raja terhadap rakyat dan negeri yang dikasihi, bukan diputar belit untuk menutup kelemahan sendiri.
“Untuk pengetahuan Armada Johor, semua perkara yang disentuh dalam titah Pemangku Sultan Johor itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun kerajaan negeri sentiasa terbuka, bekerjasama rapat dan saling membantu dalam memastikan isu seperti gaji minimum, hospital, brain-drain dan bekalan air bagi memastikan limpahan dapat dirasai seluruh Bangsa Johor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Alias perlu sedar, beliau tidak berada pada kedudukan moral mahupun kredibiliti untuk menilai urus tadbir kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu juga mengingatkan beliau supaya tidak mengalih perhatian rakyat dengan mempergunakan institusi diraja sebagai bahan politik atau cuba mengheret ke dalam percaturan politik sempit.
Alias katanya, seharusnya lebih cermat dalam memberikan pandangan dan tidak sesekali cuba memanipulasi titah baginda demi kepentingan politik atau untuk menutup kegagalan sendiri ketika memegang tampuk kepimpinan.
“Saya menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan institusi diraja. Hormatilah institusi ini sebagai payung perpaduan dan simbol kedaulatan negeri,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.
Semalam Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah dan menyentuh berkenaan bekalan air, gaji minimum serta perkembangan terkini Hospital Pasir Gudang.
Baginda bertitah Johor mensasarkan beberapa pembinaan infrastruktur air mentah yang mampu menampung keperluan air di seluruh negeri.
Bagi gaji minimum pula, Tunku Mahkota Ismail menasihatkan pelabur atau syarikat terlibat bersedia menawarkan gaji minima RM4,000 bagi graduan lepasan universiti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara Hospital Pasir Gudang pula, baginda mahu supaya segera menempatkan petugas kesihatan sebelum hospital itu beroperasi pada Ogos ini.
Hari ini, Alias menyifatkan titah tersebut sebagai satu teguran kepada kerajaan yang semakin selesa di tampuk kuasa dan gagal mengurus kebajikan rakyat.
Alias mendakwa, titah itu juga merupakan cerminan suara hati rakyat Johor yang telah lama menanggung kelemahan urus tadbir negeri serta kegagalan menyuarakan kepentingan Johor di peringkat Persekutuan.- MalaysiaGazete
















