KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ASEAN agar kekal berprinsip dan tegas dalam mempertahankan ‘multilateralisme’ serta undang-undang antarabangsa walaupun berdepan tekanan geopolitik dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing.
Dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di Kuala Lumpur hari ini, Anwar menyifatkan rantau ini sebagai antara sedikit wilayah dunia yang masih berjaya mengekalkan kestabilan dan keharmonian walaupun wujud perbezaan ketara antara negara anggota.
“ASEAN tidak lahir dalam suasana mudah. Ia terbentuk dalam kompleksiti namun berasaskan semangat dialog dan kerjasama. Kekuatan kita bukan terletak pada ketiadaan ketegangan tetapi pada kesanggupan untuk menguruskannya secara kolektif dan hormat,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan global mutakhir termasuk konflik di Gaza dan Palestin juga situasi peperangan di Ukraine, ketidakstabilan di beberapa kawasan di Afrika, serta krisis yang masih berlarutan di Myanmar.
“Kita melihat penderitaan berpanjangan yang menimpa rakyat Palestin. Kita juga terus prihatin dengan keadaan di Myanmar di mana keamanan masih sukar dicapai. Dalam semua ini, ASEAN tidak boleh sekadar menjadi pemerhati,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah yang menurutnya berpotensi mencetuskan konflik lebih besar dan memberi kesan kepada keselamatan tenaga serta kestabilan global.
“Prinsip undang-undang antarabangsa hanya akan bermakna jika ditegakkan secara konsisten, bukan mengikut keselesaan. ASEAN mesti menjadi antara suara yang memilih untuk mempertahankan peraturan dan nilai sejagat, walaupun pihak lain memilih jalan sebaliknya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Anwar tegas menolak konsep ‘spheres of influence’ atau pengaruh kuasa luar ke atas rantau ini.
“Kita adalah rantau yang menentukan haluannya sendiri iaitu secara berdaulat, kolektif dan berwawasan. Keputusan tentang masa depan Asia Tenggara mesti datang dari kita, bukan dari luar,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar turut menyatakan sokongan penuh Malaysia terhadap penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN serta menyeru semua negara anggota memberi dukungan padu bukan sahaja dalam aspek institusi, tetapi juga dalam merealisasikan visi serantau secara inklusif.
Anwar menegaskan kekuatan ASEAN perlu diterjemahkan melalui tindakan bersama yang berlandaskan nilai bersama, rantau ini katanya tidak boleh hanya bergantung kepada sejarah sebaliknya perlu sentiasa bergerak ke hadapan dengan semangat perpaduan dan iltizam yang segar. -MalaysiaGazette Dua deklarasi
















