Hasil pemeriksaan awal JAS mendapati berlaku perubahan ketara pada warna air Sungai Air Batu, berhampiran Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, Melaka semalam yang bertukar hitam dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen oleh sumber yang masih dalam siasatan.

MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka diarah menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pencemaran air di Sungai Air Batu, berhampiran Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, di sini, semalam.

Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam kenyataannya malam ini berkata, pihaknya memandang serius dakwaan penduduk yang mengaitkan pencemaran itu berpunca daripada Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang.

“JAS telah diarahkan untuk menjalankan siasatan serta-merta dan hasil pemeriksaan awal mendapati berlaku perubahan ketara pada warna air sungai yang bertukar hitam.

“Ia dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen oleh sumber yang masih dalam siasatan termasuk kebimbangan penduduk setempat yang mengaitkan insiden ini dengan Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan di lokasi berkenaan namun setakat ini, tiada pelepasan air larut resapan (leachate) dikesan semasa pemeriksaan dilakukan.

“Walau bagaimanapun, pihak JAS akan terus memantau dan menjalankan pensampelan secara berkala sekiranya berlaku sebarang pelepasan, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Standard Kualiti Alam Sekitar.

“Untuk makluman, tapak pelupusan tersebut telah berada di bawah pemantauan berkala pihak JAS dan beberapa tindakan penguatkuasaan juga pernah diambil terhadap pengendali tapak sebelum ini,” tegasnya.

Kenyataan yang dikeluarkan

Kenyataan itu berkata, kerajaan negeri memberi jaminan penuh bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh, dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang alam sekitar.

“Kerajaan Negeri Melaka komited dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast