Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerima kunjungan hormat dari Pengurusan Tertinggi Top Glove di pejabat TSKP, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

KUALA LUMPUR –  Pengeluar sarung tangan, Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi cadangan melantik Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di syarikat tersebut.

Hasrat itu dizahirkan selepas pihak syarikat dimaklumkan mengenai inisiatif CeIO yang diperkenalkan oleh SPRM sebagai salah satu usaha memperkukuhkan tadbir urus dan integriti dalam sektor korporat.

Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, pihaknya menyambut baik cadangan SPRM untuk melantik CeIO dalam syarikat tersebut dan akan melaksanakan kajian terlebih dahulu.

“Langkah ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi tahap integriti dalam kalangan kakitangan Top Glove kerana kami adalah pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

“Inisiatif ini juga mencerminkan kesungguhan Top Glove untuk terus mempertingkatkan tatakelola serta mematuhi prinsip antirasuah,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Wee Chai berkata, kunjungan itui menjadi platform penting untuk bertukar pandangan berkaitan langkah-langkah pencegahan rasuah dan komitmen membebaskan syarikat daripada sebarang amalan yang tidak berintegriti.

Sementara itu, Azam berkata, Top Glove merupakan syarikat yang bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga peringkat antarabangsa.

“Justeru, integriti adalah penting dan bukan sekadar prinsip dalaman, tetapi menjadi keperluan asas untuk terus berkembang dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Top Glove untuk menganjurkan program “Integrity Run”, beliau menyambut baik usaha syarikat itu dalam memerangi rasuah dalam kalangan kakitangannya.

“Saya menggalakkan aktiviti seperti ini dan SPRM akan membantu memberi kerjasama diperlukan bagi menjayakan program ini. Selain itu, sumbangan dan penglibatan sektor korporat dalam program berasaskan integriti dan antirasuah layak mendapat potongan cukai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast