KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur terus menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 522,400 orang berbanding 525,900 penganggur pada bulan sebelumnya.
Kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal 3.0 peratus seperti pada April 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara pada Mei 2025 menunjukkan daya tahan dan penyesuaian yang baik terhadap perubahan ekonomi global dan teknologi.
Penurunan pengangguran yang berterusan, diiringi pertambahan dalam guna tenaga, mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan.
Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus berada dalam trend menaik pada Mei 2025, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus, mencatatkan 17.38 juta orang (April 2025: 17.34 juta orang).
Kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.8 peratus, sama seperti bulan yang lalu.
Bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei 2025, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta orang yang direkodkan pada April 2025.
Menurutnya, kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja dan merekodkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus
mencecah kepada seramai 12.66 juta orang pada Mei 2025, berbanding 12.63 juta orang pada bulan sebelumnya.
Begitu juga, bilangan penduduk bekerja sendiri mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 3.18 juta orang berbanding 3.16 juta orang pada April 2025.
Melihat kepada prestasi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan yang konsisten, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan aktiviti pengangkutan & penyimpanan.
Pada masa sama, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan perlombongan & pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.
Mengulas lebih lanjut situasi pengangguran pada Mei 2025, Mohd Uzir menjelaskan mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif, merangkumi 79.7 peratus daripada jumlah penganggur.
Pada bulan tersebut, bilangan penganggur aktif menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 416,400 orang (April 2025: 418,600 orang).
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 64.4 peratus meliputi mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.1 peratus merupakan mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, turut menurun sebanyak 1.2 peratus, merekodkan 106,000 orang berbanding bulan sebelumnya (April 2025: 107,200 ribu orang).
Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.2 peratus pada Mei 2025, dengan 297,700 penganggur belia (April 2025: 298,300 orang; 10.3%).
Bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun, kadar pengangguran kekal pada 6.2 peratus, mencatatkan bilangan penganggur belia
seramai 399,000 orang (April 2025: 400,600 orang).
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 7.18 juta orang pada Mei 2025 berbanding 7.17 juta orang pada April 2025.
Peratus sumbangan tertinggi penduduk di luar tenaga buruh adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga iaitu sebanyak 43.7 peratus, diikuti oleh mereka yang terlibat dalam bersekolah/ latihan dengan 41.0 peratus. – MalaysiaGazette
















