KUALA LUMPUR – Beberapa hartanah dianggarkan bernilai lebih RM620 juta telah disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan Op Fibre melibatkan kelulusan pinjaman institusi perbankan.
Siasatan Op Fibre dijalankan terhadap sebuah syarikat membabitkan projek pembangunan rangkaian gentian pada tahun 2012 bernilai kira-kira RM400 juta.
Menurut sumber, sehingga kini SPRM telah merakam percakapan seramai sembilan saksi bagi membantu siasatan.
“Hartanah yang disita ini seperti banglo, kondominium, premis pejabat, lot tanah dan kelab golf yang terletak di sekitar Lembah Klang berjumlah kira-kira RM620 juta.
“Suspek juga dipercayai pemegang saham dalam kelab golf tersebut, selain menyita empat unit kenderaan mewah yang bernilai kira-kira RM2 juta.
“SPRM turut membekukan 72 akaun yang meliputi akaun persendirian dan syarikat berjumlah melibatkan nilai kira-kira RM390,000,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, SPRM telah menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Wira disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai kira-kira RM75 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.
Katanya, notis Pengisytiharan Harta di bawah S.36(1) Akta SPRM 2009 akan diserahkan kepada suspek dan 23 individu mulai 10 Julai 2025. – MalaysiaGazette
















