Menteri diJabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa ditemui dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Tabung Endowmen DBKL, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Afdlin Shauki didakwa tidak adil apabila menunding jari kepada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung penutupan anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan, YWP Media Sdn Bhd pada 1 Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menjelaskan, penutupan syarikat penerbitan itu antara lain disebabkan masalah kewangan.

“Macam saya sebut, ia adalah keputusan daripada ahli lembaga pengarah. Kenapa kita nak tutup adalah pelbagai sebab, antaranya masalah kewangan dalam YWP yang saya kira menjadi tanggungjawab (YWP) sendiri sebagai badan induk untuk melihat kebajikan keseluruhan.

“Jadi penutupan tersebut bukanlah (sepenuhnya) sebab DBKL tidak bayar, itu saya rasa tidak adil untuk berkata sedemikian. Seperti kita sebut tadi, kerja yang dah dibuat, sudah pun dibayar, mana kerja yang tidak dibuat, itu belum dibayar, bagi saya tak ada timbul sebarang  isu di sini,” katanya.

 

Menteri diJabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, pada Majlis Peluncuran Tabung Endowmen DBKL, di sini hari ini.

 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Peluncuran Tabung Endowmen DBKL yang turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, di sini hari ini.

Zaliha menjelaskan,  kesemua bayaran tersebut akan dilunaskan mengikut proses kerja yang disiapkan selaras dengan perjanjian dimeterai antara DBKL dan YWP Media Sdn Bhd. 

“Sudah tentunya DBKL akan membayar mengikut perkembangan kerja. Bagi saya kalau kerja itu tak siap lagi maka sudah tentulah menjadi tanggungjawab DBKL untuk tidak membayarnya sehinggalah kerja- kerja yang dinyatakan itu diselesaikan,” jelasnya.

Pada masa sama, Dr. Zaliha berkata,  penstukturan semula YWP telah dibuat dengan melantik ketua pegawai eksekutif baharu, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed berkuat kuasa 1 Julai lalu bagi tempoh dua tahun.

Terdahulu media melaporkan, Bahagian penerbitan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), badan bagi membantu golongan miskin, menamatkan operasinya secara rasmi berkuat kuasa 1 Julai.

Difahamkan keputusan itu melibatkan sekurang-kurangnya 15 kakitangan editorial yang bekerja di YWP Media Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan warta mingguan Wilayahku serta portal dalam taliannya.

Penutupan operasi itu disahkan oleh Ketua PKR Setiawangsa merangkap Pengerusi YWP Media, Afdlin Shauki dan memaklumkan ia berpunca ‘keadaan kewangan kritikal’ syarikat itu, antara tunggakan bayaran oleh DBKL.

Afdlin turut mendakwa, pembekuan pembayaran oleh DBKL berpunca daripada fitnah terdahulu yang mendakwa dia sebagai ahli lembaga penasihat DBKL, telah memperoleh kontrak bernilai jutaan ringgit tanpa mematuhi prosedur yang betul.

Bagaimanapun, Afdlin memaklumkan Lembaga YWP telah membuat keputusan untuk menamatkan penerbitan yang bermula sejak Januari 2019 dengan versi cetakan mingguan, ketika itu di bawah seliaan bekas menteri Khalid Samad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast