Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Amerika Syarikat, Marco Rubio ketika hadir ke Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Amerika Syarikat ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan terhadap komitmennya kepada rantau Asia-Pasifik khususnya Asia Tenggara kekal kukuh meskipun berdepan isu tarif perdagangan yang sedang mencetuskan kebimbangan global.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington tidak pernah mempunyai niat untuk mengabaikan rantau ini sebaliknya melihat ASEAN sebagai komponen utama dalam dasar luar negaranya yang berteraskan kerjasama strategik dan keselamatan serantau.

“Kami tidak akan meninggalkan rantau ini. Sebaliknya kami mahu memperkukuh hubungan yang telah terjalin dan membina kerjasama yang lebih erat,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama AS sempena AMM ke-58 di sini hari ini.

Rubio turut menegaskan masa depan politik dan ekonomi global akan banyak ditentukan oleh perkembangan di Indo-Pasifik.

Untuk makluman, kehadiran Rubio di Kuala Lumpur juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Asia Tenggara sejak dilantik sebagai Setiausaha Negara merangkap Penasihat Keselamatan Negara AS.

Lawatan itu dilihat sebagai usaha Washington untuk mengalihkan semula fokus strategik ke rantau Indo-Pasifik selepas sebelum ini tumpuan pentadbiran AS banyak terarah kepada konflik di Asia Barat dan Eropah.

Mesyuarat AMM ke-58 yang dihoskan Malaysia menyaksikan kehadiran negara-negara ASEAN serta rakan dialog utama termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Kesatuan Eropah, Australia dan Rusia.

Pertemuan itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran bersama.

Sebelum ini, media melaporkan Rubio dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala sepanjang lawatannya termasuk perbincangan mengenai keselamatan maritim, pembangunan ekonomi serantau, dan kerjasama dalam teknologi strategik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast