Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov hadir ke Mesyuarat Pasca Menteri ASEAN bersama Amerika Syarikat ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Komitmen Rusia memperluas akses pendidikan kepada pelajar dari negara ini mendapat suntikan baharu apabila bersetuju menambah jumlah tempat pengajian bagi rakyat Malaysia khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pertemuan dua hala menjelang Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dengan Russia sempena AMM ke-58 di sini hari ini.

“Rusia menyambut baik permintaan Malaysia untuk menambah kuota pelajar kita khususnya bagi menyokong dasar kerajaan dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Lavrov juga meminta kita mengemukakan surat rasmi dan memberi jaminan perkara itu akan diuruskan,” kata Mohamad.

Khabar berita tentang penambahan kuota ini dilihat sebagai peluang untuk meluaskan penglibatan Malaysia dalam sektor pendidikan antarabangsa selain memperkukuh hubungan dua hala.

Untuk makluman, lebih 550 pelajar Malaysia sedang menuntut di Rusia dalam pelbagai bidang antaranya perubatan dan kejuruteraan.

Dalam pertemuan yang sama, Mohamad memaklumkan Rusia menyatakan kesediaan untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) walaupun proses dokumentasi dan rundingan lanjut akan dikendalikan di peringkat pegawai.

“Rusia sedang mempertimbangkan komitmen mereka terhadap SEANWFZ dan rundingan teknikal akan diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat perjanjian itu,” katanya.

Perjanjian SEANWFZ atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Bangkok telah ditandatangani oleh semua negara anggota ASEAN pada Disember 1995 dan mula berkuat kuasa pada Mac 1997.

Ia menuntut komitmen kuasa-kuasa besar untuk tidak menggunakan atau mengancam penggunaan senjata nuklear di rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini, China telah menyatakan kesediaan menandatangani perjanjian berkenaan tanpa syarat, manakala Amerika Syarikat (AS) masih meneliti syarat protokol yang terkandung dalam perjanjian tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast