Foto Facebook Kesultanan Pahang.

KUALA LUMPUR – Anakanda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam Sarjana Muda (Kepujian) Bidang Tekstil daripada University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom semalam

Kesultanan Pahang menerusi satu hantaran di Facebook rasmi memaklumkan, anugerah diraih Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah itu merupakan satu pencapaian membanggakan bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang tetapi juga rakyat negeri itu.

Menurut kenyataan tersebut, kejayaan Tengku Puteri Raja menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang dalam bidang kreatif dan teknikal seperti tekstil mencerminkan keazaman, kesungguhan serta dedikasi tinggi sepanjang tempoh pengajian.

“Bidang tekstil yang melibatkan elemen seni, reka bentuk, warisan dan inovasi merupakan cabang ilmu yang semakin penting dalam memperkaya budaya serta memartabatkan identiti bangsa.

“Pencapaian ini juga membuktikan golongan muda khususnya wanita, mampu menyerlah dalam bidang yang mencabar dan berpotensi besar untuk diterokai di peringkat global.

“Seluruh warga MKP amat berbangga dengan kejayaan Tengku Puteri Raja yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan aspirasi kepada generasi muda, terutamanya dalam membina masa depan gemilang berasaskan ilmu, kreativiti dan nilai budaya,” katanya Kesultanan Pahang.

Kesultanan itu turut mendoakan agar puteri bongsu kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tersebut terus melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.

“Diharapkan juga Tengku Puteri Jihan berupaya menyumbang ke arah pemerkasaan industri kreatif tanah air, khususnya dalam memperkasa warisan tekstil tempatan di persada antarabangsa,” maklumnya.

Sebelum ini, Tengku Puteri Jihan mencuri perhatian dunia seni antarabangsa menerusi penyertaan rasminya di UCA Grad Show 2025.

Pengasas di sebalik jenama tekstil Jihans Studio itu tampil unik menerusi projek bertajuk Cityscapes Of The Future yang merupakan sebuah gabungan seni tekstil yang menghimpunkan elemen futuristik dengan warisan seni bina tradisional Malaysia.

Ia juga memperlihatkan kematangan estetik dan jati diri budaya yang kuat dalam setiap helaian fabrik.

Grad Show 2025 UCA adalah platform tahunan menghimpunkan bakat baharu dari pelbagai bidang kreatif, termasuk tekstil, fesyen, grafik dan seni halus.

Pameran tahun ini berlangsung di tiga kampus utama di Epsom, Farnham dan Canterbury, England dari 9 hingga 25 Jun, selain turut boleh diakses secara dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast