Ketuanya, Cassel (tengah) bertanyakan sesuatu kepada pengguna Jejantas Tun Teja, Peringgit, Melaka.

MELAKA – Pemuda DAP (DAPSY) Melaka mendesak kerajaan negeri mendedahkan dua penyata akaun dan tender projek menaik taraf Jejantas Tun Teja di Peringgit di sini yang menjadi perdebatan umum ekoran kosnya sehingga RM8 juta.

Ketuanya, Cassel Krishnan berkata penjelasan itu penting supaya rakyat tidak terus membuat andaian yang boleh merosakkan ketelusan imej Kerajaan Perpaduan dalam projek berkenaan yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Februari lalu.

“Saya mendesak kerajaan negeri mendedahkan apakah kos sebenar sebab sampai sekarang kita tak dapat statement of account dan tender (penyata akaun dan penyata tender) yang betul- betul dengan teliti dan telus apakah kos untuk jejantas Tun Teja ini.

“Bukanlah niat kita untuk bersangka jahat atau cakap ada rasuah dan kita akui memang jejantas ini memberi manfaat kepada peniaga-peniaga kecil cuma apakah justifikasinya sehingga RM8 juta?” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Cassel Krishnan

Turut sama timbalannya, Danny Sim Yong Seng dan Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Melaka, Hau Jia Juin.

Mengulas lanjut Cassel berkata, jika kerajaan benar-benar hendak membantu peniaga kecil, terdapat pelbagai lagi cara lain boleh diberikan secara langsung menggunakan bajet RM8 juta itu.

“Kalau kita nak bantu 100 peniaga kecil contohnya, boleh saja bagi mereka seorang RM80,000 kalau betul itulah tujuan utamanya untuk meningkatkan ekonomi periuk nasi mereka.

“Sebuah jejantas sepatutnya memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat Melaka, bukanlah warga asing atau pelancong sahaja,” tegasnya lagi.

Wakil rakyat pembangkang sebelum ini mempersoalkan bagaimana bumbung jejantas yang menelan kos RM8 juta dan baru berusia lima bulan itu boleh bocor sehingga ia tular sekali gus menjejaskan imej Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, kejadian itu yang tular menerusi video berdurasi 18 saat sejak 28 Jun lalu amat memalukan dan tidak boleh diterima sama sekali untuk sebuah projek mega. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast