Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid (tengah) tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan kes pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 12 Ogos ini bagi keputusan permohonan semakan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta.

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pasukan peguam yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan pasukan pendakwaan selaku responden.

Na’imah diwakili Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Law Chin How mewakili responden.

Terdahulu, Chin How berhujah, siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sukar untuk dilengkapkan kerana saksi cenderung untuk `bersembunyi’ di belakang hak mereka dan enggan memberi kerjasama.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, sekatan jenayah yang dikenakan terhadap saksi yang gagal membantu dan mematuhi siasatan SPRM, berkadar dengan niat ketika undang-undang itu diluluskan.

Chin How selanjutnya menghujahkan, pendakwaan terhadap Na’imah kerana gagal mengisytiharkan harta, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan terhadap tertuduh.

Hujah beliau, ini kerana tiada saksi dipanggil setakat ini kerana perbicaraan belum dimulakan.

Pada prosiding 13 Jun lalu, Gurdial berhujah, Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan daripada segi undang-undang ketika menolak permohonan Na’imah untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.

Hujah beliau, persoalan itu menyentuh isu perlembagaan antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa memberi keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.

Katanya, pemohon telah dituduh atas dakwaan sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma-terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.

Menurut Gurdial, pertuduhan terhadap Na’imah berkemungkinan besar dibuat sebagai tindakan balas SPRM terhadapnya kerana gagal mematuhi notis berkenaan.

Na’imah memfailkan permohonan semakan agar Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding, mengenai ketepatan, kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.

Menurut permohonan itu, jika jawapan kepada semua di atas adalah afirmatif, rekod bagi prosiding kemudiannya akan dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na’imah agar persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya, dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan balu bekas Menteri Kewangan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Na’imah kemudian memfailkan permohonan pada 29 Februari tahun lalu untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (‘AMLATFPUAA’). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast