Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat pengeluaran makanan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat itu melebihi RM200,000.

Lee Poh Tiong, 49, meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril dan Azrul Darus.

Mengikut 11 pertuduhan itu, Poh Tiong didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM211,326.18 di syarikat berkenaan di Taman Maluri, Cheras antara 18 Julai 2020 dan 25 Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak dan Wafa Zainal Abidin tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Peguam Sharen Rosli yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh yang mempunyai dua anak merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Tertuduh juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana kes ini telah disiasat selama dua tahun dan dia telah beberapa kali ke balai polis untuk memberi keterangan. Selain itu, keluarganya berada di sini selain tertuduh mempunyai perniagaan lain,” kata peguam itu.

Tertuduh dibenar ikat jamin berjumlah RM24,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan kes pada 15 Ogos ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast