KUALA LUMPUR – Polis menyiasat insiden yang tular di media sosial melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi milik Polis Diraj Malaysia (PDRM) dengan sebuah motosikal di Subang Kelana Jaya – Link semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah mengesan kejadian menerusi rakaman papan pemuka berdurasi 17 saat itu di Facebook sekitar pukul 6.50 petang.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis BMW berlogo polis yang ditunggang anggota trafik PDRM yang berada di lorong kanan telah mengubah haluan ke lorong kiri.
“Kemudian bergesel dengan motosikal Honda ADV yang berada di lorong tengah menyebabkan penunggang berusian 20 tahun itu terjatuh ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, pihaknya turut mengambil maklum dakwaan video tular kononnya motosikal anggota polis itu tidak berhenti di lokasi kejadian.
“Namun semakan rakaman penuh mendapati anggota polis itu yang sedang menjalankan tugas rasmi telah memberhentikan motosikal lebih kurang 30 meter dari lokasi terbabit.
“Ia bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan lain malah anggota itu bersama orang awam turut membantu mangsa sehingga mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam,” ujarnya.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi bebas tampil membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-301 2621. – MalaysiaGazette















