Lelaki warga emas maut apabila motosikalnya terlibat dalam kemalangan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru–Melaka, Tanjung Laboh, dekat sini semalam.

BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan lima kenderaan di Kilometer 122, Jalan Johor Bahru–Melaka, Tanjung Laboh dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan  melibatkan motosikal ditunggang mangsa dan kereta Proton Saga, Perodua Axia Perodua Kancil dan Perodua Viva.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 6.20 petang ketika mangsa yang berusia 70 tahun dalam perjalanan dari arah selatan lorong jalan sehala menuju ke Tanjung Laboh.

“Motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah melintasi jalan utama secara melulu bagi tujuan membelok ke kanan menghala ke pusat bandar Batu Pahat.

“Tindakannya itu menyebabkan berlakunya pelanggaran dengan Proton Saga dipandu seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang sedang bergerak lurus di Jalan Johor Bahru-Melaka iaitu dari arah pusat bandar menghala ke Tanjung Laboh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, akibat perlanggaran tersebut Proton Saga terlanggar Perodua Axia dari arah yang sama.

Sementara itu, mangsa yang tercampak ke laluan bertentangan ujar beliau, dirempuh Perodua Axia yang dipandu wanita tempatan berusia 26 tahun.

Pada masa sama Proton Saga itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Kancil dan Perodua Viva yang kedua-duanya sedang menghala ke arah pusat bandar Batu Pahat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu Proton Saga serta pemandu dan penumpang Perodua Viva cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HSNI untuk proses bedah siasat,” ujarnya lagi.

Kes itu, katanya, disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu melulu atau berbahaya.

Terdahulu tular video berkenaan dalam media sosial memaparkan foto-foro kejadian itu termasuk kelihatan tulang dan jari putus atas jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast