Zahari (tengah) menunjukkan pelbagai buah durian semasa Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama media di Pejabat FAMA Negeri Johor, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan membawa beberapa cadangan ke peringkat kementerian berhubung masa depan pengusaha sektor pertanian di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, cadangan-cadangan itu diperoleh daripada hasil perbincangan dalam bengkel yang diselaraskan Jabatan Pertanian Negeri Johor bersama-sama ppihak yang terbabit dalam sektor pertanian.

“Antaranya mendapatkan beberapa perkara untuk dicadangkan kepada kerajaan bagi melindungi pengusaha pertanian di kawasan JS-SEZ itu pada masa 10 tahun mendatang.

“Di bawah portfolio saya, kita sudah buat tiga bengkel yang mana kita memanggil semua pihak yang terbabit dalam sektor pertanian, sama ada ternakan, perikanan, tanaman dan sebagainya untuk mereka berbincang dan mencadangkan kepada kerajaan langkah untuk melindungi mereka yang menjalankan aktiviti pertanian di kawasan JS-SEZ.

“Kita tidak mahu selepas 10 tahun, negeri dah maju, pelabur dah masuk, kita bimbang mereka yang terbabit dalam pertanian ini terpaksa keluar daripada kawasan ini.

“Sebab itu kita cadangkan kepada kerajaan mungkin ada satu insentif atau sebagainya atau ada akta- akta tertentu untuk melindungi mereka,” katanya ketika sidang media selepas Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama Media di Pejabat FAMA Negeri Johor di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor (Operasi), Mohd Suffian Aizudin Mohd Saleh dan Timbalan Pengarah FAMA Negeri Johor, Norasidah Idris.

Menurut Zahari, bengkel itu juga membincangkan soal langkah menarik pelabur dalam bidang pertanian ke negeri ini, sekali gus yang dapat memberi manfaat kepada pengusaha pertanian di Johor.

“Kita juga sedang berbincang apa inisiatif yang boleh kita beri kepada pelabur yang menjalankan teknologi pertanian untuk buka di Johor khususnya di kawasan JS-SEZ.

“Mungkin mereka yang buka di kawasan ini diberikan pengecualian cukai untuk beberapa tempoh, itu cadangan daripada  bengkel ini.

“Perkara ini dibincang dalam bengkel untuk dicadang kepada kerajaan supaya pelabur-pelabur yang diluluskan yang ada kaitan dengan pertanian atau keterjaminan makanan boleh buka di kawasan ini (JS-SEZ) dengan beberapa kemudahan kita beri sebagai contoh pengecualian cukai, tarif air dan sebagainya,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast