Para peserta yang menyertai Kursus Asas Kewartawanan dan Etika Media anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Tampin.

 

 

TAMPIN, – Seramai 100 orang pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah mewakili 51 buah sekolah di daerah Tampin telah berjaya menyertai Kursus Asas Kewartawanan dan Etika Media anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin yang diadakan di Dewan Kecemerlangan Darul Al-Falah, Tampin, Negeri Sembilan, semalam.

Program sehari ini turut disertai guru-guru pengiring serta pegawai-pegawai pendidikan daerah dengan objektif memperkukuh pengetahuan asas kewartawanan di samping membudayakan amalan etika media yang betul dalam kalangan pelajar, khususnya mereka yang terlibat secara langsung dengan penghasilan kandungan digital bagi platform TV Pendidikan Sekolah-Sekolah (TVPSS).

Menurut wakil penganjur, R S Sathyavani A/P Rangaraju, pendedahan awal dalam bidang kewartawanan adalah penting bagi membina generasi pelajar yang celik maklumat, peka pada isu semasa dan berupaya menangkis penularan berita palsu yang semakin berleluasa pada era digital ini.

“Kursus ini menekankan prinsip asas penulisan berita, teknik penulisan yang betul, tanggungjawab sosial sebagai wartawan muda, serta peranan mereka dalam menyalurkan maklumat sahih kepada warga sekolah dan komuniti. Paling penting, pelajar dididik untuk mengutamakan etika ketika mengumpul, mengolah dan menyebarkan sesuatu berita,” jelasnya.

Selain sesi ceramah, kursus turut menampilkan bengkel interaktif, latihan simulasi penyampaian berita, dan perkongsian pengalaman industri yang dikendalikan oleh pensyarah jemputan daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.

Para peserta dilihat amat teruja apabila berpeluang mencuba peranan wartawan dan pembaca berita melalui aktiviti simulasi yang dijalankan secara berkumpulan. Rata-rata peserta juga memberikan maklum balas positif dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia media yang dinamik.

Dalam pada itu, pihak PPD Tampin berhasrat untuk memperluas inisiatif seumpama ini ke sekolah-sekolah lain dengan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran literasi media, etika digital, serta penghasilan kandungan yang berkualiti dan berimpak tinggi selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berdaya saing dan bertanggungjawab.

Kursus Asas Kewartawanan dan Etika Media ini secara tidak langsung diharap dapat menjadi platform awal untuk mencungkil bakat kewartawanan di peringkat sekolah, membina keyakinan diri, serta memupuk sikap kritis dalam menilai maklumat bagi melahirkan ‘wartawan muda’ yang berintegriti dan berwibawa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast