Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KOTA TINGGI – Pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tertakhluk kepada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, proses itu memerlukan Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Jelas beliau lagi, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 atau Akta JAC pula bukan satu peruntukan undang-undang yang mengikat dalam menentukan pelantikan hakim.

“Akta JAC lebih kepada menapis, menilai dan mengatur (cadang) nama-nama calon, tetapi ia bukan akta finalisation (yang mengikat). Cadangan itu tidak mengikat.

“Nama-nama yang disaring JAC tetap perlu melalui prosedur di bawah Perkara 122B. Kalau niat mahu proses JAC itu mengikat, maka Perlembagaan perlu dipinda,” katanya.

Mahdzir dan Azalina (tengah) sebelum perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, Kota Tinggi hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Pengerang itu berkata demikian pada sidang media sebelum  Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Azalina meminta semua pihak merujuk hansard Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang.

Ketika itu katanya, Mohamed Nazri memaklumkan bahawa Akta JAC itu lebih kepada pentadbiran, dan tidak mengikat.

“Kalau niat nak mengikat, kena dibuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapi isunya Perkara 122B masih tidak dipinda.

“Perkara berkenaan tidak menyebut bahawa adanya Akta JAC yang wajib mengikat. Jadi jika kita tafsirkan undang-undang ini, dia membezakan antara duanya (Akta JAC dan Perkara 122B),” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast