Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim

KUANTAN – Jabatan Mufti Negeri Pahang memandang serius terhadap penularan fahaman New Age Movement yang sudah mula menyusup ke dalam masyarakat Islam di negara ini yang diputuskan terpesong.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, idealogi itu dikesan khususnya melalui platform motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual.

Menurutnya gerakan ini membawa unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama, penyelewengan wahyu dan syariat.

“Gerakan ini begitu mudah menyerap ke dalam kursus-kursus pembangunan kendiri, seminar healing, dan latihan minda yang kelihatan seolah-olah neutral, tetapi sebenarnya membawa ajaran yang terpesong dari akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Umat Islam diingatkan agar berhati-hati terhadap mana-mana bentuk program yang menggunakan unsur metafizik dalam silibusnya yang tidak berasaskan ajaran Islam yang sahih,” katanya menerusi kemyataan hari ini.

Dalam hal ini katanya , Sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan turath ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.

Pendekatan psikospiritual dalam tasawuf yang melibatkan amalan seperti tazkiyah al-nafs, zikir, muraqabah, serta pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian, adalah alternatif yang seimbang dan sah untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.

Dr. Mohamaed Naim berkata, ia tidak hanya menjaga akidah tetapi juga mendidik jiwa agar kembali kepada Allah SWT dengan penuh adab dan rasa kehambaan.

Justeru umat Islam disarankan merujuk ke Jabatan Mufti untuk mendapatkan nasihat yang tepat berkenaan apa-apa kemusykilan termasuk aktiviti-aktiviti yang menggunakan nama motivasi, pembangunan diri, spiritual dan lain-lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast