PUTRAJAYA – Hampir 1,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat ‘menyerbu’ perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini untuk menyertai program ‘Picnic & Potluck’ bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena ulang tahun ke-100 beliau yang disambut pada 10 Julai lalu.
Pelbagai peringkat umur tidak melepaskan peluang membanjiri tepian Tasik Putrajaya berhadapan yayasan untuk aktiviti berkelah bersama keluarga sambil merakam detik-detik bermakna bersama bekas Perdana Menteri dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Suasana yang pada awalnya redup bertukar panas namun tidak menghalang mereka yang bukan sahaja membawa anak-anak kecil, malah turut kelihatan menolak warga emas menaiki kerusi roda untuk sama-sama menikmati waktu santai hujung minggu.
Meskipun terpaksa bersesak-sesak, pengunjung masih tidak berganjak merakam gambar dan merekod video Dr. Mahathir dan isteri yang meluang masa beramah mesra dengan orang ramai yang datang membanjiri program itu.
Dr. Mahathir turut mengayuh basikal bersama-sama perenang solo jarak jauh, Datuk Abdul Malik Mydin (salah seorang pencetus idea program) mengelilingi Tasik Putrajaya.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Yayasan Kepimpinan Perdana, Shaarani Abdul Rahman berkata, idea untuk merealisasikan program `Picnic & Potluck’ itu timbul sempena ulang tahun ke-100 Tun Dr. Mahathir.
“Tun selalu berbasikal mengelilingi Tasik Putrajaya pada hujung minggu dan ini waktu terbaik untuk orang ramai bertemu beliau sempena ulang tahun ke-100.
“Beliau menyambut hari jadi pada 10 Julai lalu dan hari ini merupakan Ahad pertama selepas hari ulang tahunnya,” ujar beliau ketika ditemui MalaysiaGazette pada program itu.
Shaarani yang meluahkan rasa gembira kerana acara itu mendapat sambutan ramai dan yang mengejutkan beliau, seramai 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang dijemput, turut hadir memberi sokongan.
Beliau turut menyifatkan Dr. Mahathir sebagai seorang negarawan berwawasan yang sangat disegani dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat.
Beliau yang kini berusia 77 tahun turut mengucapkan selamat ulang tahun dan terima kasih kepada Dr. Mahathir kerana berpeluang berkhidmat selama 20 tahun di bawahnya.
Sementara itu, beberapa pengunjung turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kepada bekas perdana menteri meskipun tidak berkesempatan bersemuka dengan beliau pada acara itu.

Aishah Ahmad, 65, dan rakan-rakannya Norshida Hanim, 60, dan Normala Ali, 50, sempat menyanyikan lagu `Happy Birthday’ kepada Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, empat wanita dari Women Directors Programme 2015, Dr. Haliza Yusoff, Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal, Siti Sapina Abd. Rahim dan Aniz Adura Abdul Majid turut tidak mahu melepaskan peluang bertemu negarawan itu.

Sementara itu, bekas pegawai tentera, Datuk Raja Ibrahim Raja Shahriman, 86, mencuri masa untuk bertemu Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah dan mendoakan mereka terus sihat menempuh kehidupan seharian.
“Saya menyifatkan Tun berdua seperti `Twin Tower’ kerana masih megah berdiri. Jasa Tun Mahathir tidak akan dapat dilupakan terutama membangunkan Putrajaya yang dilengkapi dengan pelbagai infrastuktur,” ujar beliau.

Seorang pengunjung cilik, Raisha Nur Adelia Herman, 11, dari Putrajaya yang hadir bersama-sama bapanya menyatakan kekaguman kerana pemimpin negara itu mencapai usia 100 tahun.
Murid berkenaan berharap bertemu bekas perdana menteri itu namun tidak kesampaian kerana pengunjung terlalu ramai.

Sementara itu, Mohd Shahril Sohimi, 39 dan isterinya Hamizah Ismail, 37, memperoleh maklumat berkaitan program hari ini menerusi TikTok dan Facebook, turut menyampaikan ucapan hari lahir kepada Dr. Mahathir.
Mereka yang kagum dengan kepimpinan beliau berasa sangat berbangga kerana membesar pada zaman tersebut dan berterima kasih kerana diberi peluang merasai nikmat pembangunan. – MalaysiaGazette
















