KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung pendedahan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular ketika ini.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, pendedahan yang dibuat oleh laman Reddit.com baru-baru ini boleh dianggap benar, sekiranya kerajaan terus mengambil sikap berdiam diri.
“Kita kita sudah baca (apa yang didedahkan oleh Reddit), kalau (anda semua) baca baik-baik, memang institusi kehakiman kita memang tercabar. Selagi kerajaan tidak kata ini semua tipu kita anggap betul lah.. Kalau betul kita ada masalah yang besar.
“Bagi saya, isu ini tidak boleh ditutup, perlu diberikan fokus dan tidak boleh ‘taichi’ (elak), kena hadapinya,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika menjadi salah seorang panel dalam Forum Awam: Integriti Kehakiman di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), malam ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/07/13/bukit-aman-siasat-penyebaran-minit-mesyuarat-jac/
Wong Chen merupakan salah seorang daripada Sembilan Ahli Parlimen PKR yang mengadakan sidang media bersama bekas Menteri Ekonomi yang juga mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan dan pertikaian sejak kebelakangan ini.
Beliau dalam masa yang sama berkata akan membangkitkan pendedahan laman Reddit.com mengenai petikan minit mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijangka berlangsung esok di Sri Perdana, Putrajaya.
Sebagai rekod, pendedahan laman berkenaan dilaporkan mengandungi dakwaan yang sama dengan laporan polis yang dibocorkan sebelum ini dan dibuat bagi pihak seorang hakim kanan pada Jun lalu.
Dokumen tersebut turut didakwa mendedahkan mengenai campur tangan dalam pelantikan hakim berikutan persaraan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Mengulas lanjut Wong Chen berkata, perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen yang berkaitan adalah berdasarkan prinsip dan kesetiaan terhadap perlembagaan negara.
Sehubungan itu katanya, beliau menyokong gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan.
“Kami akan buat sebaiknya, sekurang-kurangnya kena tanya soalan ini sekeras-kerasnya. Sok (apabila) perjumpaan bersama, saya akan bangkitkan perkara ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















