JOHOR BAHRU – Lima pegawai polis yang terlibat dalam kemalangan helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Khamis lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Amanah (HSA) di sini dilaporkan stabil.
Timbalan Pengarah Hospital 2, HSA, Dr C Mitesh berkata, dua daripada pegawai berkenaan, Konstabel R.G Devendran, 30, masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan dan Koperal Adeline Liu Yan Siu, 32, pula dipantau rapi pasukan perubatan.
“Tiga lagi mangsa yang cedera dan stabil dirawat di dalam wad biasa juga masih dalam pemerhatian termasuk doktor pakar ortopedik kerana ada yang cedera dan perlu rawatan rapi yang lain.
“Jadi, kalau ikutkan keadaan semasa, kelima-lima (mangsa), dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HSA, hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.25 pagi Khamis lalu, dua pegawai dan tiga anggota polis dikejarkan ke HSA selepas helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhempas ke dalam Sungai Pulai, Gelang Patah.
Kejadian itu terjadi ketika melakukan demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025), yang melibatkan empat negara – Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi.
Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R G Devendran dilaporkan kritikal.
Sementara juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, 46, pembantu juruterbang, Superintendan Ahmad Bustamin Baharom, 43, serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin, 54, turut cedera.- MalaysiaGazette
















