SEBERANG JAYA – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengesahkan pihaknya mengarahkan pembatalan program ceramah agama di Masjid Sembilang di sini, selepas mendapati penganjuran program berkenaan tidak mematuhi peraturan dan tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa agama negeri.
Menurut Pengarahnya, Marzuki Hassan, tindakan itu diambil susulan aduan diterima mengenai penganjuran satu wacana ilmu yang dijalankan tanpa permohonan rasmi serta melibatkan penceramah yang tidak memiliki tauliah sah seperti yang disyaratkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Program tersebut tidak dikemukakan untuk kelulusan dan individu yang dijemput menyampaikan ceramah pula tidak berdaftar atau mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa agama negeri.
“Oleh itu, penganjuran program ini bercanggah dengan peruntukan undang-undang syariah dan tidak dibenarkan diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Marzuki menjelaskan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, terhadap individu yang menyampaikan ajaran Islam tanpa tauliah yang sah.
Tambah beliau, ketetapan MAINPP yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong turut menetapkan hanya individu bertauliah atau yang mempunyai kebenaran bertulis dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri ini.
Katanya, program tersebut juga telah melanggar Kaedah 15 dan 16(1) di bawah Kaedah-Kaedah Pentadbiran Aktiviti Berkaitan Pengajaran Agama (Pulau Pinang) 1998 yang menetapkan setiap ceramah memerlukan kebenaran bertulis JHEAIPP melalui borang permohonan yang sah.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa sebarang tindakan menganjurkan aktiviti agama tanpa mematuhi garis panduan boleh dianggap sebagai menghina pihak berkuasa agama seperti termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pulau Pinang) 1996.
“Pihak kami menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang sedia ada. Sebarang aktiviti agama perlu dijalankan secara tertib bagi memelihara keharmonian dan integriti institusi masjid sebagai pusat ibadah yang bebas daripada pengaruh luar yang tidak sesuai,” katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Sembilang dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa mereka bukanlah penganjur program ceramah yang menampilkan Dr Wan Ji Wan Hussin malam Ahad lalu.
Menurut kenyataan tersebut, pihak masjid hanya menyediakan ruang bagi program itu dijalankan atas permintaan Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) Cabang PKR Permatang Pauh.
“Masjid tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran. Kami hanya membenarkan penggunaan ruang masjid atas permintaan pihak luar, iaitu BIPPA,” menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Masjid Sembilang.
Pihak masjid juga menjelaskan bahawa mereka telah memaklumkan kepada pihak penganjur berkenaan keperluan tauliah ceramah yang sah mengikut peraturan JHEAIPP, namun diberitahu bahawa perkara itu akan diuruskan oleh pihak penganjur sendiri.
Masjid Sembilang turut menyatakan bahawa kenyataan media yang dibuat oleh Dr Wan Ji berhubung halangan kuliah tersebut tidak ada kaitan langsung dengan pihak pengurusan masjid.
“Masjid Sembilang menyatakan sokongan penuh terhadap langkah yang diambil oleh MAINPP dan JHEAIPP dalam memastikan setiap program dakwah dan aktiviti keagamaan dikawal selia secara teratur,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















