KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mempersoalkan tindakan Kerajaan Selangor yang mengumumkan akan menarik balik kelulusan tanah kepada rumah ibadat bukan Islam sekiranya gagal dimajukan dalam tempoh yang ditetapkan.
Menurut presidennya, Datuk N Sivakumar, langkah berkenaan harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya berdasarkan kekurangan laporan atau kelewatan pembinaan semata-mata.
“Saya faham mungkin ada tekanan kepada kerajaan negeri akibat kelewatan segelintir pengurusan rumah ibadat memberi laporan perkembangan.
”Tetapi adakah Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) benar-benar memahami realiti kewangan yang dihadapi oleh pihak pengurusan rumah ibadat?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim yang menyatakan tanah-tanah tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan ditarik balik dan diserahkan kepada pihak lain yang memerlukan.
Sivakumar turut menekankan antara sebab utama pembinaan rumah ibadat terbantut ialah faktor kewangan dan sepatutnya kerajaan negeri menyediakan solusi atau sokongan kepada pemilik tanah yang sedang berdepan kekangan tersebut.
“Malah ada rumah-rumah ibadat yang sudah menjalankan ujian tanah, proses tender dan perancangan pembinaan namun masih belum menerima sebarang maklum balas atau kelulusan dari pihak berkuasa. Sampai sekarang status permohonan masih tergantung,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang terlalu memberi tumpuan kepada pemberian tanah baharu sedangkan banyak rumah ibadat yang sudah wujud sejak era pra-kemerdekaan masih belum mendapat pengiktirafan tanah secara rasmi.
“Kebanyakan rumah ibadat lama ini dibina di kawasan estet, kampung atau penempatan masyarakat sejak zaman penjajahan. Ini warisan budaya dan agama yang perlu dipelihara. Tapi malangnya, banyak permohonan untuk pengiktirafan tanah kekal tidak diendahkan oleh pihak LIMAS,” ujarnya.
Justeru, Mahima mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan sesi pertemuan berkala secara mesra dengan pengurusan rumah ibadat bukan sekadar menilai mereka selepas lima tahun tanpa maklum balas sepanjang tempoh tersebut.
“Yang penting bukan serbuan selepas lima tahun, tetapi pendekatan yang mesra dan boleh diakses. Kenalkan sistem pemantauan berkala, bantu mereka faham proses, dan jika ada masalah, campur tangan lebih awal. Jangan hanya mengejutkan mereka dengan kenyataan tarik balik,” tegasnya.
Beliau menggesa agar kerajaan negeri tampil memberi jawapan yang jelas terhadap permohonan- permohonan yang tertangguh dan tidak membiarkan dokumen permohonan terus ‘tidak bergerak’ tanpa penjelasan. – MalaysiaGazette














