Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Tujuh daripada sembilan suspek dalam sindiket penipuan seks dan pemerasan seksual dalam talian akan didakwa di sini esok.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tiga kertas siasatan dibuka dalam kes berkenaan dan sebanyak 32 pertuduhan akan dikemukakan membabitkan tujuh suspek terbabit.

“Ketiga-tiga kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Johor.

“Tujuh daripada sembilan tangkapan menerima arahan pertuduhan. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru serta Mahkamah Majistret Kulai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 10 pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan lima pertuduhan di bawah Seksyen 12 akta sama.

Enam pertuduhan lagi katanya, akan dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 15(f) akta sama.

“Tiga pertuduhan lagi dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan; masing-masing dua pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Ini termasuk masing-masing satu pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Terdahulu, sembilan individu termasuk dua wanita dan seorang remaja ditahan polis dalam serbuan Op Bugil yang dijalankan antara 20 Jun hingga 1 Julai lalu di daerah ini dan Kulai.

Tujuh lelaki dan dua wanita yang ditahan semuanya warga tempatan berusia 17 hingga 50 tahun.

Kumar dilaporkan berkata, modus operandi sindiket yang sudah beroperasi sejak November tahun lalu itu, bermula dengan mewujudkan akaun media sosial palsu sebelum menyamar sebagai wanita cantik untuk mamujuk mangsa yang diperangkap bagi melakukan panggilan video lucah.

Ketika panggilan lucah dibuat, sindiket akan memujuk mangsa melakukan aktiviti lucah dan semua yang dilakukan itu dirakam bagi kegunaan untuk mengugut mangsa untuk mendapatkan wang.

Mangsa akan diugut untuk membayar wang antara RM500 hingga RM1,000 setiap kali dipaksa melakukan panggilan video lucah dan sekiranya tidak mahu, sindiket mengugut mengedarkan video lucah mangsa kepada semua senarai kenalan termasuk keluarganya memandangkan telefon bimbit mangsa sudah berjaya digodam.

Dalam operasi itu, Kumar berkata, pihaknya turut menyelamatkan tiga mangsa termasuk dua remaja berusia 15 dan 16 tahun dan selain remaja lelaki serta perempuan itu, turut diselamatkan seorang lelaki dewasa yang dijadikan mangsa kegiatan seksual.

Sindiket ini merekrut remaja warga tempatan yang tidak bersekolah menerusi media sosial untuk dijadikan pekerja dengan gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan dan mereka akan dilatih supaya mahir ‘mencari mangsa’ sebelum dipaksa kerja di luar negara seperti Laos dan Thailand.

Mangsa remaja ini akan dikurung dan dipaksa bekerja sebagai ahli sindiket selama 12 jam sehari dan akan dipukul, dipaksa makan cili, serta didera secara seksual, jika tidak memberikan kerjasama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast