KUALA LUMPUR – Commerze Capital Sdn Bhd memperuntuk dana pembiayaan sebanyak RM50 juta khusus menyokong usaha digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera di seluruh negara.
Ia sejajar dengan agenda mempercepat transformasi ekonomi digital nasional, kata Pengarah Urusan Commerze Capital, Shahrom Latif.
Menurut beliau, dana itu bukan sekadar tawaran kewangan biasa tetapi satu inisiatif menyeluruh untuk membantu PKS terutamanya dalam kalangan Bumiputera yang masih ramai tidak mendapat akses kepada pembiayaan daripada institusi kewangan arus perdana.
“Strategi ini merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat transformasi digital PKS bagi memperkukuh daya saing dan memastikan kelestarian perniagaan dalam era ekonomi digital.
“Kami mahu memecahkan halangan dan membuka peluang yang lebih adil kepada PKS untuk berkembang secara digital. Ini bukan semata-mata soal pembiayaan tetapi soal masa depan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrom memberitahu, langkah tersebut dimulakan menerusi penyertaan strategik Commerze Capital sebagai rakan pembiayaan utama dalam CelcomDigi My5G Bengkel Digital Usahawan 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya pada 8 Julai 2025 di Kuala Lumpur.
CelcomDigi My5G Bengkel Digital Usahawan 2025 merupakan program nasional yang menyasarkan pemerkasaan PKS dalam penggunaan teknologi seperti rangkaian 5G, automasi dan penyelesaian perniagaan pintar sebagai asas daya tahan ekonomi masa depan.
“Commerze Capital akan meneruskan komitmen ini dalam siri seterusnya yang akan berlangsung di Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025, dengan matlamat membawa manfaat pembiayaan dan literasi digital kepada lebih ramai usahawan luar bandar dan usahawan muda.
“Langkah ini selari dengan usaha kerajaan memperkasakan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, serta menyokong agenda digitalisasi seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL),” jelasnya lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan penyertaan Commerze Capital dalam bengkel CelcomDigi boleh menghubungi +60186614129 atau www.commerzecapital.com.my
Beliau turut menegaskan transformasi digital merupakan kunci utama kepada daya tahan dan pertumbuhan jangka panjang sektor PKS di Malaysia.
“Kami komited untuk menjadi rakan sebenar dalam perubahan ini. Produk utama kami termasuk pemfaktoran invois, pra-pemfaktoran dan nasihat kewangan korporat. Semuanya direka bentuk untuk membantu PKS menangani cabaran aliran tunai dan membuka akses kepada peluang kontrak lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















