MELAKA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mahu mewujudkan satu tabika khas untuk kanak-kanak autisme di setiap negeri bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, keperluan tabika ketika ini adalah mendesak terutama di kawasan luar bandar untuk menjamin masa depan pendidikan kanak-kanak istimewa itu.
“Sebelum ini pendidikan anak-anak autisme kurang diambil perhatian dan kebanyakan ibu bapa yang tidak mampu menghantar ke tadika swasta hanya meletakkannya di rumah dan dan sebagainya.
“Sewajarnya mereka perlu diberi pendedahan dan pendidikan awal supaya mereka boleh berdikari serta ditingkatkan sudut potensi diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Lawatan Kerja Ke Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS Hang Jebat, di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, untuk kawasan sub bandar, kanak-kanak berkenaan diletakkan di Pusat Dalam Komuniti (PDK) namun kemudahannya tidak begitu mencukupi.
“DI PDK, tiada pendidik yang betul-betul mempunyai kepakaran dalam menangani anak-anak seperti ini dan masyarakat luar bandar yang tak ada kemampuan untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta.
“Sebab itulah KEMAS sebagai salah satu agensi di bawah KKDW bersetuju menjadi ejen perubahan melalui pembukaan Tabika KEMAS Autisme ini bermula di Melaka sebelum ke 13 lagi negeri lain tahun depan.
Dalam pada itu, Rubiah turut memaklumkan, KKDW akan terus melatih guru dan tenaga pengajar berpengalaman untuk kanak-kanak istimewa itu.
Sementara itu, Rais berkata, Melaka menjadi negeri perintis kepada penubuhan Tabika KEMAS Austisme pertama negara ini iaitu tiga buah masing-masing di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membantu kesemua tiga tabika KEMAS khas itu di negeri ini bagi dari segi kemudahan tambahan lain.
“Antara bantuan yang akan disalurkan adalah seperti keperluan pendingin hawa, kerusi dan meja serta lain-lain keperluan di setiap tabika berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















